Ahad, 3 November 2019 | 3:13pm
PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin. - Foto Azhar Ramli

Yayasan Peneraju sedia lahir lebih ramai profesional Bumiputera

KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), bersedia untuk memenuhi keperluan melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera berkualiti dalam Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA).

Ia menerusi peruntukan sebanyak RM192 juta yang diumumkan di dalam Belanjawan 2020, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin berkata, dalam bidang akauntan profesional, yayasan itu yakin untuk menjadi antara penyumbang penting terhadap pertumbuhan kerjaya berkenaan di Malaysia.

Malah, beliau berkata Yayasan Peneraju berjaya merangsang serta melahirkan lebih 4,000 akauntan profesional sejak penubuhan yayasan berkenaan tujuh tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 59 penerima faedah yayasan ini sudah memiliki pengiktirafan sebagai akauntan profesional menduduki ranking teratas dunia dalam Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales (ICAEW), Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dan CPA Australia.

“Selain itu, 29 daripada mereka berada pada kedudukan nombor satu dunia dalam Certified Accounting Technical (CAT) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) World Prize Winner,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd Ariff berkata, peranan akauntan profesional adalah kritikal bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam era dunia digital.

Katanya, ketika Malaysia sedang memanfaatkan peluang daripada Revolusi Industri Keempat (IR4.0) menerusi transformasi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, mereka yang berbakat akan ketinggalan jika tidak melengkapkan diri dengan kemahiran terkini yang relevan terhadap ekonomi.

“Sehingga hari ini, Yayasan Peneraju sudah membiayai hampir 5,000 profesional bertauliah dalam pelbagai program termasuk akauntan, Penganalisis Kewangan Bertauliah, Pengurus Risiko Kewangan dan data raya.

“Bagi 2020, Yayasan Peneraju akan lebih memberi tumpuan terhadap ekonomi digital, kewangan Islam dan teknologi IR4.0 bagi menyokong keperluan negara dalam mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030)," katanya.

Jelasnya, jika negara ingin memenuhi aspirasi negara untuk menjadikan ekonomi lebih progresif dan berasaskan pengetahuan serta bernilai tinggi dengan penyertaan menyeluruh daripada komuniti di semua peringkat, maka perlu dipastikan yang negara mempunyai jumlah profesional mencukupi dalam sektor utama yang kritikal.

"Ia juga dapat berperanan dalam ekonomi dan keperluan sosial selepas mengambilkira perubahan terhadap landskap digital dan persekitaran ekonomi yang lebih kompetitif,” katanya.

Berita Harian X