Isnin, 14 Oktober 2019 | 2:38pm
Guan Eng pada Forum Belanjawan 2020 anjuran bersama Malayan Banking Bhd, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd dan RHB Banking Group , di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Cukai lebih tinggi untuk yang kaya? Kadar kita paling rendah

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata walaupun peningkatan dua mata peratusan dikenakan ke atas cukai pendapatan bagi pendapatan dikenakan cukai melebihi RM2 juta, namun kadar itu masih antara yang terendah di rantau ini.

Beliau berkata, kadar baharu itu dicadangkan oleh Bank Dunia, namun pada kadar yang lebih tinggi iaitu 35 peratus.

"Walaupun dinaikkan kepada 30 peratus, kita masih antara yang paling rendah (berbanding negara jiran),” katanya pada Forum Belanjawan 2020 di sini hari ini.

Katanya, kerajaan percaya kenaikan itu mampu ditanggung oleh pembayar cukai terbabit.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020 pada Jumaat, Lim berkata bagi memastikan struktur percukaian individu yang lebih berstruktur, kadar baharu dicadangkan ke atas pendapatan bercukai melebihi RM2 juta, meningkat dua mata peratusan kepada 30 peratus berbanding 28 peratus kadar semasa.

Peningkatan itu memberi kesan ke atas kira-kira 2,000 individu berpendapatan tinggi dalam negara.

Forum Belanjawan 2020 anjuran bersama Malayan Banking Bhd, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd dan RHB Banking Group itu bertujuan menyediakan platform untuk pegawai kerajaan, pakar industri dan korporat untuk berkongsi pandangan dan jangkaan mereka susulan pembentangan Belanjawan 2020. - BERNAMA

Berita Harian X