Khamis, 10 Oktober 2019 | 8:38pm

MIDA meterai MoU dengan IPAQ galak pelaburan

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Penggalakkan Pelaburan Qatar (IPAQ) untuk meningkatkan kerjasama dalam menjana pelaburan aliran silang antara kedua-dua negara.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Azman Mahmud, berkata kerjasama itu akan memperkukuhkan lagi hubungan perniagaan sedia ada antara Malaysia dan Qatar.

Beliau berkata, sebagai sebuah ekonomi yang pelbagai dengan kelebihan daya saing dan perbezaan, Malaysia menyediakan banyak peluang perniagaan kepada pelabur Qatar untuk akses kepada pasaran lebih luas di rantau ASEAN.

“Kami menyasarkan untuk mewujudkan peluang dan pemangkin baharu bagi usaha sama perniagaan menerusi saluran pemudah cara tanpa had yang akan menyumbang secara positif terhadap pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara,” katanya dan menurutnya MIDA akan memanfaatkan rangkaian dan sumber IPAQ untuk menyediakan hubungan lebih baik bagi komuniti perniagaan di kedua-dua negara.

“Kami mahu menarik lebih banyak pelaburan daripada Qatar. Kekuatan Qatar dalam aktiviti berasaskan perkhidmatan adalah selari dengan tumpuan kami ketika ini untuk menarik pelaburan dalam sektor perkhidmatan dan menjadikan Malaysia hab serantau bagi pelabur asing,” katanya.

Majlis pemeteraian MoU itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) Malaysia-Qatar kali kedua di Malaysia pada minggu ini, yang akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Perdagangan dan Industri Qatar Ali Ahmed Al-Kuwari dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Darell Leiking.

MIDA berkata, JTC itu dijangka bakal memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dan membuka lembaran baharu bagi kerjasama untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan Malaysia dan Qatar.

Kerjasama itu termasuk pertukaran maklumat dan pembangunan perindustrian serta penganjuran aktiviti promosi bersama seperti persidangan dan seminar yang menyasarkan pelabur, kata MIDA.

Sementara itu, CEO IPAQ, Sheikh Ali Alwaleed Al-Thani, berkata sebagai agensi yang baru ditubuhkan, IPAQ akan memanfaatkan perjanjian itu dan meningkatkan kerjasama dan berkongsi amalan terbaik.

“Kami percaya hubungan kami yang erat ini akan meningkatkan dan menyokong pengembangan pelaburan Malaysia dan Qatar di negara masing-masing,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X