Khamis, 10 Oktober 2019 | 8:33pm
Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM akan terus tingkat akses dan sedia pelbagai perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dan industri kewangan untuk meningkatkan akses dan menyediakan pelbagai perkhidmatan kewangan kepada masyarakat setempat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bank pusat yang mengadakan sesi dialog hari ini dengan wakil utama daripada persatuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan dewan perniagaan di Sandakan, Sabah, berkata ia akan mengadakan dialog yang serupa sebagai penghubung antara sektor kewangan dengan komuniti tempatan untuk memastikan ekosistem yang cekap dan berkesan bagi PKS.

Dialog hari ini yang dipengerusikan Penolong Gabenor, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, diadakan bersempena dengan Karnival Kewangan Sandakan yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Oktober 2019 di Harbour Mall, Sandakan.

Semasa sesi dialog itu, komuniti perniagaan Sandakan berkongsi pandangan mereka mengenai cabaran perniagaan yang sedang mereka hadapi

“Antara isu yang diketengahkan oleh PKS ialah kesukaran mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan, kekurangan keupayaan pengurusan kewangan dan perniagaan dalam kalangan PKS serta kurang kesedaran tentang program pembinaan keupayaan yang tersedia dan skim pembiayaan untuk PKS,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam menangani permintaan untuk pembinaan keupayaan, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan beberapa institusi kewangan lain telah bersetuju untuk berkerjasama dengan persatuan PKS bagi melatih dan meningkatkan kemahiran ahli-ahli mereka.

Beberapa peniaga tempatan juga meminta institusi kewangan supaya lebih fleksibel ketika berurusan dengan pelanggan PKS dalam suasana perniagaan yang mencabar sekarang ini.

Sambil mengakui akan hal tersebut, Adnan Zaylani menerangkan langkah-langkah terbaharu yang memberikan kelonggaran sehingga membolehkan PKS menstruktur semula dan menjadualkan semula kemudahan yang ada.

“PKS juga digalakkan untuk terus menggunakan secara aktif akaun semasa dalam urusan perniagaan yang boleh menyokong permohonan pembiayaan mereka dan mereka juga boleh mendapat manfaat daripada Skim Pembiayaan Mikro dengan membuat permohonan pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM50,000 daripada 10 institusi kewangan yang mengambil bahagian.

“PKS juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan pembangunan, Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd dan sumber pinjaman alternatif seperti platform Pendanaan Rakan-ke-Rakan dan pendanaan ekuiti daripada orang ramai menerusi Internet yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

Bagi maklumat lanjut, sila layari laman web BNM di www.bnm.gov.my. - BERNAMA

Berita Harian X