Khamis, 10 Oktober 2019 | 6:24pm
JURUCAKAP kementerian luar negeri, Geng Shuang.

AS masukkan syarikat AI China dalam senarai hitam

WASHINGTON/SHANGHAI: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) meluaskan senarai hitam perdagangannya dengan memasukkan beberapa syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) terkemuka China, sebagai tindak balas kepada kekejaman Beijing terhadap kaum minoriti Islam negara itu.

Ia sekali gus meningkatkan ketegangan menjelang rundingan perdagangan antara AS-China di Washington minggu ini.

Keputusan itu, menyasarkan 20 biro keselamatan awam China dan lapan syarikat termasuk firma pengawasan video Hikvision, serta pemimpin dalam teknologi pengenalan wajah SenseTime Group Ltd dan Megvii Technology Ltd.

Tindakan pengharaman itu menyebabkan firma berkenaan dilarang membeli komponen daripada syarikat AS tanpa kelulusan kerajaan AS, yang dilihat berpotensi melumpuhkan operasi beberapa syarikat berkenaan.

Tindakan sama digunakan oleh Washington dalam usaha mengehadkan pengaruh Huawei Technologies Co Ltd, yang kononnya mengancam keselamatan negara itu.

Pegawai AS berkata, tindakan itu tidak terikat dengan rundingan semula perdagangan yang akan diadakan minggu ini ketika dua ekonomi terbesar di dunia itu berusaha untuk menamatkan perang perdagangan yang berlarutan selama 15 bulan.

Sementara itu, China berkata AS perlu menghentikan campur tangan dalam urusan hal ehwalnya.

Jurucakap kementerian luar negeri, Geng Shuang berkata, ia akan terus mengambil langkah tegas untuk melindungi keselamatan kedaulatannya.

 

Hikvision, dengan nilai pasaran kira-kira AS$42 bilion, adalah pembuat alat pengawasan video terbesar di dunia.

  

SenseTime, bernilai lebih AS$7.5 bilion, antara entiti AI paling berharga di dunia manakala Megvii, yang disokong oleh gergasi e-dagang Alibaba, bernilai kira-kira AS$4 bilion dan sedang melaksanakan tawaran awam permulan (IPO) untuk meraih sekurang-kurangnya AS$500 juta di Hong Kong.

  

Syarikat lain dalam senarai itu ialah firma pengiktirafan ucapan iFlytek Co; pembuat peralatan pengawasan Zhejiang Dahua Technology; firma pemulihan data Xiamen Meiya Pico Information Co; syarikat pengenalan muka, Yitu Technology dan Yixin Science and Technology Co. - Reuters

Berita Harian X