Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:38pm
PRESIDEN Persatuan Pengilang Produk Getah Malaysia (MRPMA), Datuk Dr Ong Eng Long. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Pengeluar produk getah perlu titik beratkan isu tenaga kerja

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengilang Produk Getah Malaysia (MRPMA) menggesa pengeluar produk getah di negara ini supaya lebih berhati-hati dan memandang serius isu membabitkan tenaga kerja terutamanya buruh asing.

Presidennya, Datuk Dr Ong Eng Long, berkata tiada ruang untuk semua pihak merangkumi pengeluar produk getah kecil dan sederhana untuk terus selesa, namun aspek pematuhan membabitkan sosio ekonomi berkaitan peraturan dan bimbingan tenaga kerja perlu dipatuhi dengan tegas.

“Memanfaatkan dan mematuhi inisiatif kod kelakuan bagi industri produk getah, akan melihat sektor pembuatan produk getah berkembang ke tahap yang lebih tinggi dengan peningkatan produktiviti dan kemampanan di pasaran.

“Justeru, kami gesa semua ahli MRPMA untuk memanfaatkan pelbagai langkah, insentif dan program yang dilaksanakan Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dalam meningkatkan pematuhan sosial terutama audit latihan dan pematuhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan pihak berkuasa AS mengharamkan import sarung tangan getah yang dikeluarkan oleh WRP Asia Pacific Sdn Bhd, sebuah syarikat dari Malaysia, yang didakwa menggunakan buruh paksa.

Sejurus penerbitan laporan itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menegaskan pengharaman import sarung tangan getah Malaysia oleh Amerika Syarikat (AS) hanya membabitkan sebuah syarikat Malaysia dan bukannya sarung tangan getah Malaysia secara keseluruhan.

Berita Harian X