Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:09pm
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok. - Foto Asyraf Hamzah

Biodiesel B20 mula diguna awal 2020

BANGI: Penggunaan minyak biodiesel B20 di Malaysia akan dilaksanakan secara berperingkat dan dimulakan di Langkawi, Kedah pada awal tahun depan, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha kini digerakkan untuk menyediakan kemudahan lengkap bagi tujuan berkenaan termasuk depoh minyak biodiesel yang boleh menyimpan biodiesel B30 apabila dilaksanakan kelak.

“Walaupun pelaksanaan B20 dimulakan pada tahun depan namun (pada masa sama) kita mahu menyediakan dan menaik taraf kemudahan yang sesuai untuk biodiesel B30 untuk penggunaan pada masa akan datang," katanya kepada media di sini, hari ini.

Terdahulu, Kok menghadiri majlis pelepasan peserta yang memandu kenderaan Euro 5 mengunakan biodiesel B20 dalam projek usaha sama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (JAMA).

Mengulas selanjutnya, Kok berkata kerajaan masih dalam peringkat mengadakan kajian membabitkan jumlah peruntukan diperlukan untuk menaik taraf depoh bagi penggunaan biodiesel itu di seluruh negara.

Malah, katanya, kerajaan juga telah memberi notis pemakluman kepada syarikat yang mengimport kereta dari luar negara berhubung persediaan pelaksanaan program B20 itu pada 2020.

“Notis ini bagi memastikan semua pihak terbabit bersedia. Kita tidak mahu kereta yang dipandu di jalan raya itu tidak dapat menggunakan B20,” katanya.

Selain itu, Kok turut mengumumkan kerjasama MPOB dengan enam universiti tempatan bagi menjalankan kajian sistematik selama dua setengah tahun terhadap penggunaan biodiesel sehingga B30 bagi enjin berteknologi Euro IV/4 ke bawah yang membabitkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

Enam universiti itu adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Nottingham cawangan Malaysia.

-BERNAMA

Berita Harian X