Isnin, 7 Oktober 2019 | 1:36pm
ONG Kian Ming (kiri) merasmikan Pertandingan Keusahawanan & Inovasi Global Perdana China (IPIEC Global 2019) - Peringkat Akhir ASEAN di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Negara ASEAN digesa tumpu pertumbuhan produktiviti

KUALA LUMPUR: Negara ASEAN digesa berganjak daripada hanya tertumpu pada pertumbuhan hasil kepada pertumbuhan didorong oleh produktiviti dengan memberi penekanan kepada penggunaan sumber yang cekap yang memberi tambah nilai.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata untuk mencapai hasrat itu, setiap industri perlu meningkatkan inovasi, mengenalpasti produk dan perkhidmatan bernilai tinggi serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi terkini.

“Inovasi adalah satu kemestian untuk meneruskan kelangsungan dalam perniagaan dan dagangan.

“Inovasi moden termasuklah elemen digital yang memberikan pengalaman lebih baik dan berguna kepada pengguna.

“Begitu juga Revolusi Industri 4.0 yang kini menjadi megatrend di suruh dunia. Suka atau tidak, perubahan sedang berlaku di segenap pelusuk dunia. Sama ada kita bersedia atau tidak, teknologi ini akan menjejaskan kehidupan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Keusahawanan & Inovasi Global Perdana China (IPIEC Global 2019) - Peringkat Akhir ASEAN di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif BETA Foudation, Lilyana Abdul Latif dan Ketua Pembangunan Perniagaan Global WTOIP Global (China), Raffle Chan.

Pertandingan itu bermatlamat mengenalpasti projek dan inovator global untuk dihubungkan dengan sumber keusahawanan di China selain, sebagai pemudahcara perniagaan asing memahami ekosistem perniagaan di republik itu.

Mengulas mengenai pertandingan itu, Kian Ming berkata, China dikenali sebagai peneraju inovasi dan Malaysia pastinya akan menerima manfaat daripada usaha sama ini terutama dalam era IR4.0.

“Pertandingan inovasi seperti IPIEC Global 2019 berfungsi sebagai platform tepat untuk usahawan masuk ke pasaran China dengan sokongan kerajaan China.

“Ia bukan sahaja memanfaatkan perniagaan mereka tetapi juga membantu meningkatkan kemahiran dan melengkapkan perniagaan mereka dengan pengetahuan teknologi terkini,” katanya.

Sebanyak 11 projek terpilih ke peringkat akhir yang akan diadakan di China pada Disember ini dengan lapan daripadanya adalah wakil dari Malaysia, dua dari Indonesia dan satu dari Myanmar.

BETA Foudation, yang diiktiraf sebagai wakil rasmi Asia Tenggara bagi WTOIP China adalah penganjur IPIEC Global 2019-Peringkat Akhir ASEAN. WTOIP adalah platform teknologi ulung bagi perkhidmatan korporat dan harta intelek.

Berita Harian X