Rabu, 2 Oktober 2019 | 12:57pm
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Omar Swift (ke-3 dari kiri) bersama Pengerusi Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia, Datuk Ahmad Azman Abdul Manaf (dua dari kanan) memukul gong simbolik pada pelancaran Cabaran Debat Pelaburan Kebangsaan Bursa Malaysia 2019 Bursa Malaysia Berhad. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bursa Malaysia jayakan Minggu Pelabur Sedunia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd memberi sokongan menjayakan Minggu Pelabur Sedunia (WIW) dengan menyertai bursa saham lain di seluruh dunia dengan menjadi tuan rumah bagi acara "Ring the Bell for Financial Literacy" hari ini.

Ini disusuli pelancaran Cabaran Debat Pelaburan Kebangsaan kedua.

Diadakan dari 30 September hingga 4 Oktober 2019, WlW adalah kempen global yang dianjurkan Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (lOSCO) bertujuan meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan pendidikan dan perlindungan pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata sempena acara itu, pihaknya menganjurkan Cabaran Debat Pelaburan Kebangsaan tahunan, yang adalah platform bagi Bursa Malaysia untuk mempromosikan kesedaran kewangan dan mewujudkan generasi pelabur yang berpengetahuan.

Katanya, melalui aktiviti pembelajaran meriah yang menggalakkan pelajar menggunakan kebolehan penyelidikan dan pemikiran, Bursa Malaysia ingin memupuk minat dalam pasaran modal dan pada masa sama memperkukuhkan mesej utama WlW seperti memahami kepentingan kepelbagaian, mengetahui pentingnya ketekunan wajar sebelum melabur, dan mengiktiraf unsur-unsur risiko dalam melabur.

Beliau berkata demikian pada majlis memukul gong sempena WIW.

Cabaran Debat Pelaburan Kebangsaan adalah pertandingan yang direka khusus bagi penuntut universiti di seluruh Malaysia.

Tahun ini, cabaran perbahasan mendapat perhatian lebih meluas dalam kalangan mahasiswa yang melihat nilai dalam memperkayakan pengetahuan pelaburan dan membantu mereka membangunkan kemahiran pelaburan yang tepat untuk mengembangkan kekayaan secara bertanggungjawab ketika mereka bersiap untuk memasuki tenaga kerja.

Sebanyak 21 pasukan mewakili universiti swasta dan awam di seluruh negara mengambil bahagian dalam cabaran itu, yang mana 16 daripadanya disenarai pendek untuk pusingan awal hari ini.

“Celik kewangan boleh dipromosikan dengan impak yang lebih besar menerusi pertandingan yang merangsang dan merancakkan perbincangan, penyelidikan dan pengetahuan,” kata Muhamad Umar.

Sebagai sokongan kepada cabaran yang semakin meningkat dalam kalangan pelajar universiti, penaja acara CGS-CIMB Securities Sdn Bhd, Affin Hwang Investment Bank, Maybank Investment Bank Bhd dan Hong Leong Investment Bank Bhd secara kolektif bertekad untuk meningkatkan jumlah hadiah wang tunai kepada RM21,000 tahun ini.

CGS-CIMB Securities Sdn Bhd, penaja untuk hadiah pertama, telah meningkatkan hadiah wang tunai sebanyak tiga kali ganda kepada RM9,000.

Topik perdebatan tahun ini meliputi skop yang lebih luas daripada analisis pasaran saham dan perdagangan dalam talian kepada turun naik harga dan perdagangan derivatif.

Empat daripada 16 pasukan terbaik akan beraksi pada separuh akhir dan final pada 2 November untuk menjulang trofi juara.

Berita Harian X