Isnin, 23 September 2019 | 8:25am
Sajian eksotik Melayu, sambal tempoyak ikan bilis petai dan tempoyak ikan patin terbukti mendapat sambutan menggalakkan pada acara Ekspo ASEAN-China (CAEXPO) ke-16, di Naning. - Foto BERNAMA

Produk tempoyak Mak Uda dapat sambutan pengunjung China di CAEXPO

NANNING: Sajian eksotik Melayu, sambal tempoyak ikan bilis petai dan tempoyak ikan patin terbukti mendapat sambutan menggalakkan pada acara Ekspo ASEAN-China (CAEXPO) ke-16, di sini.

Buktinya, selain sampel yang hampir habis pada hari kedua daripada acara empat hari bermula 21 September itu, sebanyak 100 botol sambal tempoyak dan 50 tin tempoyak ikan patin berjaya dijual.

Pengarah Urusan Patiniaga Sdn Bhd (Patiniaga), Khairul Izwandy Abdul Jazan, berkata beliau tidak menyangka produk resipi keluarga di bawah jenama ‘Mak Uda’ dan berharga 30 yuan (RM18) sebotol itu mampu meraih sambutan sedemikian.

“Saya membawa 150 botol sambal tempoyak itu dan 100 botol sudah terjual pada hari kedua. Bagi tempoyak ikan patin pula separuh daripada 100 tin telah dibeli pengunjung.

"Ini kali pertama saya menyertai CAEXPO dan sudah lama berniat ingin memperkenalkan tempoyak kepada masyarakat di China memandangkan mereka amat menyukai durian. Saya pun terkejut dengan sambutan yang diterima,” katanya kepada BERNAMA.

Malah, kata Khairul Izwandy, seramai lapan ejen pengedar turut berkongsi minat untuk menjalin kerjasama memasarkan sambal tempoyak petai ikan bilis di pasaran China dan perkara itu akan disusuli sebaik kembali ke Malaysia.

Produk ‘Mak Uda’ itu adalah produk tempoyak pertama dibawa masuk oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sejak menyertai menyertai CAEXPO sejak 2004.

Menurut Khairul Izwandy, syarikat Patiniaga itu beroperasi di Shah Alam, Selangor ketika ini dan mengeluarkan produk secara kecil-kecilan dengan bergantung kepada permintaan.

Beliau turut berterima kasih kepada MATRADE yang banyak membantu syarikat itu merealisasikan impiannya membawa resipi turun-temurun keluarganya ke pasaran luar negara.

Syarikat itu adalah antara 167 pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia yang menyertai ekspo itu. - BERNAMA

Berita Harian X