Jumaat, 13 September 2019 | 6:50pm
Hong Leong Group dan firma ekuiti global, TPG Group memenangi bidaan pengambilalihan hospital Columbia Asia di Asia Tenggara dengan nilai AS$1.2 bilion (RM5 bilion). - NSTP/Mahzir Mat Isa

Hong Leong, TPG ambil alih 17 hospital Columbia Asia, RM5 bilion

Hong Leong Group dan firma ekuiti global, TPG Group memenangi bidaan pengambilalihan hospital Columbia Asia di Asia Tenggara dengan nilai AS$1.2 bilion (RM5 bilion).

Untuk tujuan itu, kedua-dua pihak sudah memeterai perjanjian pembelian saham yang dijangka dapat dimuktamadkan akhir tahun ini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak itu berkata, urus niaga berkenaan merangkumi 17 hospital dan satu klinik iaitu 12 hospital di Malaysia; Indonesia (3 hospital) dan Vietnam (2 hospital dan 1 klinik).

Menerusi pembelian itu, masing-masing akan memegang 50 peratus saham aset berkenaan.

Bagaimanapun, 11 hospital di India tidak termasuk dalam transaksi berkenaan dan akan terus beroperasi tanpa sebarang perubahan di bawah pemilik sedia ada,

International Columbia AS, LLC, yang dikelola oleh Columbia Pacific Management berpusat di Seattle, AS.

Hospital Columbia Asia menumpukan pasaran di negara berpendapatan sederhana dengan model perniagaan unik yang menawarkan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan mampu milik.

Mengulas mengenai pengambilalihan itu, Pengarah Kewangan Hong Leong Group, Soon Seong Keat, berkata kumpulan teruja untuk meneroka perniagaan kesihatan dan dengan skala sedia ada serta model perniagaan yang unik, hospital Columbia Asia menawarkan platform tepat untuk menembusi pertumbuhan penjagaan kesihatan yang semakin kukuh di Asia Tenggara.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan TPG, yang mempunyai rekod prestasi cemerlang sebagai pelabur penjagaan kesihatan dan bekerja rapat dengan Hospital Columbia Asia untuk mempercepatkan fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Penasihat Kanan di TPG, Tunku Ali Redhauddin, berkata memandangkan pasaran penjagaan kesihatan Asia terus berkembang dengan ketara, pihaknya melihat peluang besar bagi Columbia Asia untuk mengembangkan jejak di rantau Asia Tenggara.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia, Dilip Kadambi, berkata sejak 20 tahun lalu, kumpulan memberi kemudahan kepada komuniti dengan mengendalikan 18 kemudahan penjagaan kesihatan dengan 1,494 katil di tiga negara - Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

“Kami mempunyai sembilan projek yang sedang berjalan dengan penambahan 898 kapasiti katil di Asia Tenggara di pelbagai peringkat pembangunan,” katanya.

Morgan Stanley Asia (Singapore) Pte bertindak sebagai penasihat kewangan eksklusif kepada Columbia Pacific Management dalam transaksi itu.

Berita Harian X