Rabu, 11 September 2019 | 6:09pm
Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (tengah) semasa melihat peranti perubatan LifeMed selepas majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Strategik Johor Corporation (JCorp) melalui N2W Corporation Sdn Bhd antara N2W Corp dengan SmartMed Global dan turut Pengerusi Smartmed Global Limited, Zaki Sayed Kaiser Husein (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Smartmed Global Limited, Simon Eyre (kiri), Pengarah Eksekutif N2W Corporation Sdn Bhd, Azryain Borhan (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif N2W Corporation Sdn Bhd, Rizatuddin Ramli (kanan) di Reka Scape Cyberjaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Newave Health kembang perniagaan penjagaan kesihatan digital

CYBERJAYA: Newave Health Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara N2W Corporation (N2W Corp) dan SMARTMED Global Ltd (SMARTMED) memperuntukkan perbelanjaan modal RM20 juta bagi mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif N2W Corp, Rizatuddin Ramli, berkata peruntukan bagi tempoh dua hingga tiga tahun itu adalah sebahagian daripada rangka operasi bagi meluaskan capaian aplikasi kesihatan digital yang diperkenalkan iaitu LifeMed.

“Hasil daripada pelaburan ini, kami menyasarkan penggunaan LifeMed akan dikembangkan menerusi rangkaian hospital swasta KPJ Bhd di Malaysia dalam tempoh setahun atau dua tahun ini,” katanya kepada media selepas pelancaran LifeMed dan majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara N2W Corp-SMARTMED di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden yang juga Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim; Pengerusi SMARTMED, Zaki Sayed Kaiser Husein; dan Ketua Pegawai Eksekutif SMARTMED, Simon Eyre.

N2W Corp adalah anak syarikat JCorp, manakala SMARTMED pula adalah syarikat pembangunan perisian berpangkalan di London yang khusus dalam penyelesaian kesihatan digital.

Mengulas lanjut, Rizatuddin berkata, Newave Health memiliki pelan pengembangan jangka panjang untuk meluaskan operasi dan pembangunan perniagaan LifeMed.

“Dalam tempoh dua tahun, kami akan menggunakan rangkaian KPJ untuk berkembang tidak hanya di Malaysia, malah beberapa negara termasuk Indonesia dan Bangladesh.

“Selain hospital swasta, kami juga merancang untuk menjadikan aplikasi LifeMed digunakan oleh hospital kerajaan di seluruh negara,” katanya.

LifeMed adalah aplikasi maya yang menggunakan konsep Diagnostik Pemantauan dan Kawalan Kesihatan (RHDMS) yang membolehkan pesakit menguruskan keadaan penyakit menerusi penyelesaian kesihatan digital.

Kemudahan itu adalah untuk kegunaan pengembara yang tidak mahu ketinggalan mengenai tahap kesihatan di mana menerusi LifeMed, pesakit dan pakar kesihatan boleh mendapat akses rekod kesihatan sepanjang masa.

Selain aplikasi, LifeMed hadir dengan dua lagi komponen iaitu peranti mudah alih menggunakan Bluetooth yang membolehkan ia membaca tahap kesihatan termasuk kandungan gula dan tekanan darah.

Satu lagi komponen adalah portal LifeMed Cloud dan kemudahan analitik di mana penyelesaian teknikal itu dibangunkan oleh SMARTMED menerusi konsep RHDMS.

105 dibaca
Berita Harian X