Rabu, 4 September 2019 | 12:46pm

Eksport Julai catat pertumbuhan luar jangkaan

KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia bagi Julai berkembang sebanyak 1.7 peratus kepada RM87.96 bilion berbanding setahun lalu, sekali gus mengatasi unjuran kebanyakan penganalisis.

Bloomberg mengunjurkan eksport Malaysia pada bulan berkenaan mencatatkan penurunan tahunan 2.5 peratus.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataannya berkata, angka yang dicatatkan itu adalah nilai eksport tertinggi bagi Julai.

“Pertumbuhan eksport disumbangkan khususnya oleh eksport lebih tinggi ke Taiwan, Amerika Syarikat (AS), China dan Singapura,” katanya.

MITI berkata, import pada bulan dikaji bagaimanapun menguncup sebanyak 5.9 peratus kepada RM73.69 bilion, namun masih mengatasi unjuran penuncupan sebanyak tujuh peratus.

Ia membolehkan lebihan dagangan meningkat sebanyak 75.6 peratus kepada RM14.27 bilion dan bulan ke-261 berturut-turut lebihan bekalan sejak November 1997.

Jumlah perdagangan bagi bulan berkenaan adalah RM161.65 bilion, penurunan sebanyak 1.9 peratus.

Berita Harian X