Selasa, 3 September 2019 | 3:56pm
PHUA Tai Neng (dua dari kanan) pada majlis mengumumkan Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan rasmi bagi Pameran MATTA 2019. - Foto Amirudin Sahib

Levi pelepasan tak jejas sektor pelancongan

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjangkakan pelaksanaan levi pelepasan bermula 1 September lalu tidak memberi kesan secara langsung kepada pengguna, sekali gus tidak membantutkan sektor pelancongan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Phua Tai Neng, berkata perkembangan itu adalah disebabkan kebanyakan pengguna hanya menggunakan pengangkutan udara untuk bercuti.

“Sebelum ini, kita sudah menyatakan hasrat supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaannya hingga kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, namun kerajaan sudah pun membuat keputusan.

“Bagaimanapun, saya fikir dengan tambahan RM8 bagi negara ASEAN dan luar ASEAN sebanyak RM20, ia tidak beri kesan kepada pengguna kerana mereka masih perlu bercuti dan berehat,” katanya kepada media selepas mengumumkan Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan rasmi bagi Pameran MATTA 2019 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Perkhidmatan Pelanggan dan Pemasaran Malaysia Airlines, Lau Yin May.

Pada 31 Julai lalu, Kementerian Kewangan menetapkan 1 September sebagai tarikh efektif bagi levi pelepasan.

Setiap individu yang berlepas dari Malaysia ke negara ASEAN akan dikenakan bayaran RM8 bagi penerbangan kelas ekonomi dan RM50 bagi kelas lain.

Bagi penerbangan ke negara luar ASEAN, kelas ekonomi akan dikenakan bayaran RM20, manakala kelas lain sebanyak RM150.

Mengulas mengenai Pameran MATTA September 2019 yang akan diadakan pada 6 hingga 8 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Tai Neng berkata, pihaknya yakin jualan bagi edisi itu mampu melepasi rekod yang dicapai pada Mac lalu iaitu RM220 juta, sejajar dengan pelbagai tawaran menarik.

“Bagi menghargai pengunjung MATTA selama ini, Malaysia Airlines turut menawarkan 10 tiket percuma pelbagai destinasi antaranya penerbangan kelas perniagaan ke London, United Kingdom dan Bangkok, Thailand kepada pemenang peraduan.

“Bagi melayakkan setiap pengunjung menyertai peraduan di pameran ini, anda hanya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM300 untuk satu penyertaan,” katanya.

Sempena MATTA September 2019, Malaysia Airlines menawarkan diskaun sehingga 45 peratus ke semua destinasi manakala syarikat sekutunya, Firefly menawarkan diskaun sehingga 60 peratus ke semua destinasi penerbangannya.

Berita Harian X