Jumaat, 23 Ogos 2019 | 12:46pm
Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Beng (kanan) bersama Pengarah Pelancongan Taiwan, Abe Chou (tengah) pada sidang media mengenai Pelancongan Taiwan. - NSTP/Supian Ahmad

Taiwan destinasi mesra Islam

KUALA LUMPUR: Taiwan kembali sebagai destinasi kegemaran Asia di Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) atau MATTA Fair yang akan diadakan pada 6-8 September 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Ia adalah kali kelima Taiwan dipilih sebagai destinasi kegemaran Asia di pameran itu.

“Sebagai destinasi kegemaran Asia, Taiwan akan diberikan lebih pendedahan di pameran yang menarik ribuan pelawat dari seluruh negara itu.

“Ia adalah platform untuk mempamerkan produk pelancongan, kebudayaan dan menggalakkan permintaan untuk perjalanan, memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk melancong, terutamanya ke Taiwan,” kata MATTA dalam satu kenyataan.

Pada MATTA Fair kali ini, Biro Pelancongan Taiwan (TTB) terus mengetengahkan inisiatif promosi dan kesedaran dalam menjadikan Taiwan sebagai destinasi kepada pelancong baharu dan sedia ada.

Taiwan akan mengendalikan 20 gerai di bawah Taiwan Pavilion, iaitu gerai bernombor 1413 hingga 1432 di Dewan Antarabangsa 1.

“Pusat sehenti seperti itu menawarkan kemudahan yang besar kepada pengguna,” katanya.

TTB juga melancarkan kempen yang dipanggil 'Taiwan Small Town Ramble', yang mengetengahkan 40 kampung dan bandar kecil di Taiwan.

Satu siri pakej perjalanan disediakan bagi menjayakan kempen itu dan boleh didapati di Taiwan Pavilion selama tiga hari pesta itu diadakan.

TTB juga akan terus mempromosikan Taiwan sebagai destinasi mesra Islam.

Kini terdapat banyak kemudahan mesra Islam untuk memenuhi keperluan pelancong Islam seperti makanan halal, hotel, masjid, antaranya.

“MATTA percaya bahawa usaha promosi yang aktif akan menarik lebih ramai pelancong untuk melawat Taiwan dan perjalanan dua hala antara Malaysia dan Taiwan akan terus meningkat,” katanya.

Kini terdapat lima syarikat penerbangan yang beroperasi setiap minggu antara Malaysia dan Taiwan seperti Malaysia Airlines, China Airlines, Eva Airlines, AirAsia dan Malindo melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

MATTA Fair September 2019 dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam. Harga tiket adalah RM14 bagi dewasa dan percuma untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Berita Harian X