Rabu, 21 Ogos 2019 | 7:10pm

Skim eksport baharu bantu pekebun kecil getah

KUALA LUMPUR: International Rubber Consortium Ltd (IRCo) bakal melancarkan skim eksport baharu bagi membantu pekebun kecil getah di Malaysia, Indonesia dan Thailand kekal berdaya saing, ketika kulat mengancam tanaman mereka di tengah-tengah perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Lembaga pengarahnya yang terdiri daripada wakil tiga negara anggota dalam mesyuarat pada 16 Ogos yang lalu bersetuju mempercepatkan pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) keenam, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menaikkan harga getah dengan mengurangkan eksport.

“Thailand, Indonesia dan Malaysia (TIM) mengesahkan komitmen mereka dalam menyelesaikan pelaksanaan AETS keenam.

“IRCo sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pemantauan dan Pengawasan mengesahkan bahawa TIM telah mematuhi dan komited sepenuhnya dengan pemotongan eksport masing-masing di bawah pelaksanaan AETS keenam,” kata IRCo dalam satu kenyataan.

Langkah itu dibuat apabila pengeksport getah menyatakan kebimbangan mengenai penyebaran penyakit Pestalotiopsis, sejenis serangan kulat, di ladang di seluruh Indonesia dan Semenanjung Malaysia.

IRCo berkata, Thailand setakat ini masih tidak merekodkan penyebaran penyakit itu tetapi berada dalam keadaan bersedia berusaha mencegah penyakit itu daripada tersebar.

“Penyakit ini menyebabkan harga getah menjunam,” katanya.

Tanpa petanda perang perdagangan China-AS akan berakhir dalam masa terdekat, IRCo berkata eksport telah terjejas dan membuatkan pasaran berdepan bekalan berlebihan.

Bagi memastikan harga kompetitif, kerajaan Indonesia pada Julai lalu mengumumkan sekurang-kurangnya 15 peratus pengeluaran Indonesia pada 2019 akan terjejas.

Sehingga kini, 382,000 hektar ladang getah asli (NR) telah terjejas oleh penyakit ini.

Di samping itu, IRCo berkata ia menjangkakan pengeluaran Thailand untuk 2019 berkurangan disebabkan oleh kekurangan bekalan.

Pengeluaran Malaysia juga dijangka menurun dengan ketara kerana harga getah semakin rendah.

IRCo berkata negara anggota kini telah meningkatkan usaha untuk meningkatkan penggunaan getah domestik dalam projek infrastruktur seperti jalan getah, jambatan gempa dan seismik.

-AFP

Berita Harian X