Selasa, 20 Ogos 2019 | 5:29pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng.

Malaysia terus jadi destinasi pelaburan antarabangsa

PUTRAJAYA: Peningkatan jumlah stok pelaburan langsung asing (FDI) secara berterusan menunjukkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa, sewaktu dunia dilanda perang perdagangan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata Dokumen Kedudukan Pelaburan Antarabangsa yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah FDI di Malaysia meningkat sebanyak 10.3 peratus kepada RM667.5 bilion dalam suku kedua 2019, daripada RM605.1 bilion tahun lalu.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi yang mapan adalah salah satu sebab di sebalik peningkatan stok FDI negara.

“Dalam suku yang sama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.9 peratus tahun-ke-tahun, iaitu lebih pesat berbanding pertumbuhan 4.5 peratus untuk suku pertama 2019.

“Pengembangan KDNK Malaysia ini berlangsung ketika ekonomi

serantau mengalami kelembapan pertumbuhan. Pertumbuhan ekonomi sebanyak

4.9 peratus adalah lebih tinggi daripada jangkaan pasaran 4.7 peratus, seperti yang dikumpul oleh Bloomberg,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng berkata, pencapaian suku kedua yang lebih baik berbanding jangkaan ini juga meyakinkan Fitch untuk menyemak semula unjuran dalamannya untuk pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2019 dengan menaikkannya kepada 4.6 peratus daripada unjuran asal 4.2 peratus.

“Kerajaan menjangkakan KDNK akan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.0 peratus tahun ini, berdasarkan trend di separuh pertama tahun ini,” katanya. Selain itu katanya, Kedudukan Pelaburan Antarabangsa dan Imbangan Bayaran mendefinisikan FDI sebagai pelaburan berkekalan oleh pihak asing ke dalam syarikat tempatan.

“Pelaburan berkekalan memberikan pelabur kawalan ke atas syarikat-syarikat itu. Ini selaras dengan definisi yang diberikan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ia bukanlah satu-satunya definisi yang ada.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mendefinisikan FDI sebagai pelaburan ke dalam projek. Selain itu, FDI yang diluluskan memainkan fungsi sebagai petunjuk bagi FDI sebenar seperti yang didefinisikan MIDA.

“MIDA sudah mengumumkan bahawa FDI diluluskan untuk semua sektor meningkat sebanyak 97.2 peratus kepada RM49.5 bilion dalam separuh pertama 2019, daripada RM25.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, secara khususnya, FDI pembuatan yang diluluskan telah meningkat sebanyak 74.2 peratus kepada RM33.1 bilion untuk separuh pertama tahun ini, daripada RM19 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“FDI bernilai RM11.7 bilion adalah berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan ini menjadikan AS sebagai sumber terbesar FDI pembuatan diluluskan dalam tempoh itu.

“China pula adalah sumber kedua terbesar dengan RM4.8 bilion. Singapura berada di tempat ketiga dengan FDI RM3.1 bilion dan Jepun pula sumber yang keempat terbesar dengan FDI RM2.1 bilion,” katanya.

Guan Eng menambah, MIDA menyatakan bahawa FDI pembuatan yang diluluskan bernilai RM33.1 bilion ini akan mencipta sebanyak 30,449 peluang pekerjaan dalam masa terdekat.

“Kerajaan akan terus mengekalkan pendekatan mesra perniagaan untuk menarik pelaburan ke dalam negara dan mencipta peluang pekerjaan yang berkualiti untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Berita Harian X