Selasa, 20 Ogos 2019 | 4:41pm
Presiden Institut Shariah Audit Malaysia (ISAM), Abdul Khudus Mohd Naaim. NSTP/Faiz Anuar

ISAM penuhi keperluan juruaudit syariah

SHAH ALAM: Institut Shariah Audit Malaysia (ISAM) yang ditubuhkan Mac lalu boleh memenuhi keperluan terhadap juruaudit syariah luaran di negara ini.

Presiden ISAM, Abdul Khudus Mohd Naaim berkata penubuhan institut itu dibuat untuk memartabatkan pengauditan dan perakaunan Islam selain meluaskan fungsi perakaunan.

Katanya, pada masa ini, terdapat dua sektor yang mempunyai panel audit syariah iaitu sektor kewangan yang merangkumi perbankan Islam, takaful, pasaran modal dan pengurusan aset.

“Ada peranan yang boleh dimainkan oleh ISAM di sini yang mana dengan adanya keperluan juruaudit syariah, ini bermakna perlu adanya pemeriksaan luaran dan pengesahan bagi kerja yang dilakukan oleh juruaudit dalaman.

“Satu lagi sektor adalah industri produk halal yang mana badan yang memantau status halal sesuatu produk pada masa ini adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“JAKIM juga memerlukan pihak luaran yang bebas untuk mengesahkan standard pensijilan halal untuk sesuatu produk itu menepati kriteria yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Justeru, kami menawarkan khidmat kami untuk turut sama bertanggungjawab dalam proses berkenaan. Ini membolehkan sesuatu produk atau perkhidmatan berasaskan syariah itu menjadi lebih berkredibiliti dengan adanya laporan pengesahan luaran yang bebas daripada badan profesional seperti ISAM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Akauntan Nasional 2.0 di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Firma-firma Akauntan Bertauliah Melayu Malaysia (AMCAF), Mohd Noh Jidin; Setiausaha Kehormat AMCAF, Mohd Nasri Ismail; Ahli Lembaga Pengarah ISAM, Aminuddin Yahaya dan Lembaga Penasihat ISAM, Profesor Datuk Dr Mustada Mohd Hanefah.

Kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, peserta industri, akauntan, juruaudit, pelajar universiti serta pengamal kewangan Islamik dan halal menyertai acara berkenaan.

Berita Harian X