Selasa, 20 Ogos 2019 | 2:38pm
Mohd Redzuan sempena Persidangan Kepimpinan SME 2019 di Seri Kembangan, hari ini. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Prototaip kereta terbang dibawa pulang akhir tahun

SERI KEMBANGAN: Prototaip mobiliti udara bandar (UAM) atau lebih dikenali sebagai ‘kereta terbang’ kini mencapai 85 peratus kemajuan dan dijangka dibawa pulang ke Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata kereta terbang dengan kapasiti seorang pemandu itu direka syarikat Malaysia yang berpangkalan di Jepun, berikutan negara itu memiliki ekosistem menyeluruh untuk menyokong industri berkenaan.

“Saya akan ke Jepun pada akhir September ini bagi menghadiri Persidangan Penerbangan dan saya harap dapat lihat kereta terbang yang siap sepenuhnya, yang mana kita jangka akan dibawa pulang penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Kepimpinan SME 2019 di sini, hari ini.

Ditanya adakah kereta terbang itu akan dilancarkan sejurus mendarat di Malaysia, Mohd Redzuan berkata ia bergantung kepada ekosistem pengangkutan udara di negara ini sama ada bersedia ke arah itu.

“Kementerian kini dalam perbincangan dengan pelbagai agensi dan kementerian yang terbabit dalam sektor penerbangan untuk mewujudkan ruang dan peluang kepada kereta terbang di Malaysia.

“Ini sama seperti yang dilakukan di negara lain, dengan tujuan mewujudkan usahawan atau kepakaran dengan kemahiran yang mempunyai usaha ke arah membangunkan kereta terbang.

“Namun, perlu diingatkan ini adalah inisiatif syarikat swasta. Kita tidak kawal pelabur mengenai apa yang mereka mahu lakukan, tetapi apa yang kita perlu adalah mewujudkan atau membangunkan industri kereta terbang di negara ini,” katanya.

Persidangan Kepimpinan SME 2019 dianjurkan oleh ATCEN Sdn Bhd dengan sasaran kepada pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengurusan kanan daripada pelbagai industri.

Persidangan yang menawarkan pandangan daripada pakar industri, penyelesaian terbaik dan pendedahan kepada kerangka perniagaan sebagai sebahagian daripada transformasi kepimpinan itu menarik penyertaan lebih 450 delegasi.

Berita Harian X