Khamis, 15 Ogos 2019 | 2:05pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking diiringi Ketua Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), Shamsul Kamar Abu Samah (kiri), beramah mesra dengan peserta pada Perasmian Malaysia Aerospace Summit 2019 di MITI. - Foto Saifullizan Tamadi

Industri aeroangkasa Malaysia mampu berkembang

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) optimis industri aeroangkasa Malaysia akan berkembang antara 10 hingga 15 peratus tahun ke tahun.

Menterinya, Datuk Darell Leiking, berkata ini didorong oleh peningkatan dalam aktiviti pembuatan, terutama dalam komponen aerostruktur dan enjin, serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), yang termasuk enjin dan komponen aero.

“Industri aeroangkasa kini menggaji 24,500 pekerja mahir. Untuk mencapai sasaran, kami juga memerlukan lebih ramai pekerja berbakat dan mahir.

“Antara usaha itu adalah untuk menaik taraf kursus relevan (daripada diploma sehingga ijazah) di universiti dan memastikan graduan sedia memasuki pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2019 (MyAero'19) di sini, hari ini.

Darell juga berkata, sub-sektor pembuatan aeroangkasa dijangka mencatatkan pertumbuhan eksport positif sebanyak 15 peratus, disumbangkan oleh peningkatan tempahan semasa, serta projek penyumberan luar baharu.

Antara produk aeroangkasa yang dikeluarkan di negara ini termasuk penutup kepala kipas, kotak kipas, pembalik tujahan, '’forward leading edge'’, pintu pesawat, peralatan avionik dan brek karbon.

“Bagaimanapun, kita perlu realistik bahawa beberapa perniagaan mungkin terjejas di tengah-tengah cabaran ekonomi global. Jadi, semasa terus berusaha dengan gigih, kita juga perlu meneroka dan mendedahkan diri kepada dunia luar, mendapatkan kontrak dalam bidang yang kita mempunyai kepakaran ... walaupun ia adalah sebahagian kecil daripada kontrak,” kata Darell.

Walaupun saiz Malaysia adalah kecil dan terletak jauh dari peserta aeroangkasa utama di Eropah, beliau positif bahawa pelabur akan tertarik untuk melabur dan membawa perniagaan mereka ke negara ini, kerana sokongan yang diberikan oleh kerajaan.

“Selain segmen pasaran tradisional, Malaysia juga meneroka peluang dalam Ekonomi Angkasa Baharu atau Angkasa 4.0, di mana teknologi angkasa akan meningkatkan kualiti hidup di negara ini.

“Terdapat beberapa aktiviti berkaitan dengan teknologi angkasa yang kami sasarkan untuk dibangunkan di Langkawi. Ia termasuk pusat kawalan misi, pelabuhan angkasa dan pejabat lebih ringan daripada udara pada altitud tinggi (Halta) yang serupa dengan belon Zeppelin, dan dijangka digunakan untuk telekomunikasi 4G atau 5G dan sebagainya,” katanya.

Menurut Darell, elemen Angkasa 4.0 yang mahu dilaksanakan kementerian, akan diuruskan berdasarkan pembangunan ekosistem pelaburan, modal insan serta eksport.

“Kami menjangka akan ada projek baharu bernilai RM2 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang. Ia tidak termasuk projek yang telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Bagaimanapun, perbincangan dan perundingan sedang dijalankan,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X