Rabu, 14 Ogos 2019 | 3:34pm

Ekonomi China bertambah buruk pada bulan Julai

BEIJING: China melaporkan rentetan data bulan Julai yang tidak dijangka pada Rabu, termasuk penurunan dalam pengeluaran perindustrian untuk tempoh lebih 17 tahun.

Data itu menunjuk kepada kelembapan ekonomi apabila perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) memberi kesan teruk kepada perniagaan dan pengguna.

  

Aktiviti di China terus lembab meskipun banyak langkah pertumbuhan yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu, meningkatkan persoalan sama ada rangsangan yang lebih kuat mungkin diperlukan, walaupun berisiko meningkatkan hutang.

  

Selepas sedikit peningkatan dicatat pada bulan Jun, penganalisis berkata, data terkini adalah bukti bahawa permintaan telah merosot di seluruh negara bulan lalu, daripada pengeluaran industri dan pelaburan hingga kepada jualan runcit.

  

Itu diikuti oleh pinjaman bank yang lebih lemah daripada jangkaan dan tinjauan kilang yang suram, memperkuatkan lagi jangkaan bahawa lebih banyak sokongan dasar diperlukan tidak lama lagi.

"Ekonomi China memerlukan lebih banyak rangsangan kerana cabaran adalah sangat kuat dan data hari ini jauh lebih lemah daripada konsensus," kata Larry Hu, ketua ekonomi Greater China di Macquarie Group di Hong Kong.

  

"Ekonomi akan terus perlahan. Pada tahap tertentu, pembuat dasar perlu meningkatkan rangsangan untuk menyokong infrastruktur dan harta benda, saya rasa ia boleh berlaku menjelang akhir tahun ini."

  

Pertumbuhan pengeluaran industri ketara perlahan kepada 4.8 peratus (%) pada bulan Julai dari tempoh sama tahun sebelumnya, data dari Biro Statistik Perangkaan menunjukkan, lebih rendah daripada ramalan yang paling lemah dalam tinjauan Reuters dan kadar paling lemah sejak Februari 2002.

  

Penganalisis meramalkan ia akan perlahan kepada 5.8%, dari 6.3% pada Jun. Washington telah menaikkan beberapa tarif pada bulan Mei.

  

Pelaburan infrastruktur, yang Beijing harapakan untuk menstabilkan ekonomi, juga menurun, sama seperti pelaburan hartanah, yang adalah sektor yang cerah walaupun di sebalik kebimbangan terhadap potensi gelembung perumahan.

 

Keluaran keluli mentah jatuh untuk bulan kedua berturut-turut pada bulan Julai, manakala pengeluaran kenderaan bermotor terus jatuh dua digit.

  

Kementerian industri bulan lalu berkata, negara itu memerlukan "usaha yang sukar" untuk mencapai sasaran pertumbuhan industri 2019 antara 5.5% hingga 6.0%, merujuk kepada polisi perlindungan perdagangan. - Reuters

181 dibaca
Berita Harian X