Rabu, 14 Ogos 2019 | 2:39pm

Rupee mata wang Asia paling lemah

MUMBAI: Risiko mata wang India semakin lemah meningkat apabila penurunan rupee bulan ini mengatasi mata wang Asia lain di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang memuncak di rantau berkenaan.

Penurunan mendadak rupee melupuskan hampir semua keuntungan pelabur luar pesisir yang kebiasaannya tidak melindung nilai risiko mata wang bagi pelaburan hutang jangka pendek di negara itu, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif QuantArt Market Solutions, Samir Lodha.

Firma itu adalah penasihat risiko mata wang berpangkalan di Mumbai.

Sebarang penjualan pegangan asing dalam bon korporat dan kerajaan India boleh memberi kejutan yang akan terus melemahkan lagi mata wangnya.

Kenaikan pelaburan dalam bon rupee sebahagian besarnya dipacu oleh perdagangan, sekali gus menambah kebimbangan berlaku pusingan pantas aliran dana jika rupee tidak dipantau.

Mata wang India itu susut lebih daripada tiga peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bulan ini, menjadikan penurunan bulanan kedua terburuknya dalam tempoh empat tahun.

Ia susulan meningkatnya ketegangan antara India dan Pakistan dengan pembatalan autonomi tujuh dekad Kashmir.

Perkembangan itu menambah kepada ketidaktentuan dalam pasaran sedang pesat berkembang yang berpunca daripada pertikaian perdagangan AS-China.

“Walaupun pertaruhannya adalah selamat selagi mata wang stabil, ramai yang berdepan kerugian,” kata Lodha.

“Sebarang pegangan bon berskala besar dilepaskan oleh pelabur asing memberi risiko penurunan rupee ke paras terendah baharu.”

Pelabur asing berminat membeli bon India apabila kerajaannya sebelum ini melonggarkan had pembelian hutang oleh pembeli luar pesisir, kerana kebanyakan pasaran maju lain menawarkan pulangan amat rendah.

India adalah pilihan bagi pelabur mendapat dana dalam mata wang lebih murah dalam pasaran yang menawarkan kadar faedah tinggi, kata Lodha.

Walaupun rupee mencatatkan penurunan tujuh daripada 10 tahun terakhirnya, kebanyakannya berlaku secara tersusun.

Rizab tukaran asing AS$430 bilion dan kerajaan yang paling stabil dalam tempoh tiga dekad membolehkan pembuat dasarnya mengawal penurunan itu.

-Bloomberg

1025 dibaca
Berita Harian X