Rabu, 14 Ogos 2019 | 12:06pm
FOTO hiasan.

Pertumbuhan pengeluaran perindustrian China Julai terendah 17 tahun

BEIJING: China melaporkan data Julai yang lemah, termasuk kejatuhan tidak dijangka dalam pertumbuhan pengeluaran perindustrian yang jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih 17 tahun.

Ia bayangan kepada kesan perang perdagangan yang semakin buruk antara negara itu dan Amerika Syarikat (AS).

Keluaran perindustrian meningkat 4.8 peratus pada Julai berbanding setahun sebelumnya, demikian menurut data Biro Statistik Nasional hari ini, lebih rendah daripada unjuran kaji selidik Reuters.

Penganalisis meramalkan pertumbuhan pengeluaran industri berkembang perlahan kepada 5.8 peratus, daripada pertumbuhan 6.3 peratus pada Jun, di tengah-tengah permintaan yang lemah di dalam dan luar negara.

AS menaikkan tarif secara mendadak ke atas sebahagian besar import China pada Mei.

Walaupun lebih setahun mengambil langkah-langkah rangsangan ekonomi, data itu menunjukkan permintaan domestik China masih lembap, dengan tinjauan kilang suram pada Julai, import yang menyusut dan data pinjaman bank lebih lemah daripada jangkaan yang dikeluarkan baru-baru ini memperkukuhkan pandangan bahawa Beijing perlu melancarkan lebih banyak rangsangan tidak lama lagi untuk menyokong ekonomi.

Pelabur bimbang perang perdagangan yang berpanjangan dan antara dua ekonomi terbesar di dunia itu boleh mencetuskan kemelesetan global. - Reuters

85 dibaca
Berita Harian X