Rabu, 7 Ogos 2019 | 5:15pm

ECRL sumbang 2.7 peratus kepada KDNK Malaysia

KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion yang dilancarkan semula oleh kerajaan bulan lalu mampu menyumbang sehingga 2.7 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, rangsangan untuk pertumbuhan itu dijangka bermula dari awal projek sehingga ia siap dibina sepenuhnya.

Untuk tempoh seterusnya selepas projek itu siap, bahagian penyelidikan di bawah MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata, negara bakal menikmati manfaat langsung dan tidak langsung dalam jangka panjang dari segi penciptaan peluang pekerjaan, pembukaan kawasan baharu, peningkatan aktiviti dagangan dan pertambahan permintaan domestik.

Anggaran sepenuhnya sumbangan ECRL kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), katanya, akan bergantung pada kadar kesan limpahannya terhadap sektor ekonomi lain.

“Di samping itu, pampasan kepada pekerja dan lebihan kendalian bersih dijangka masing-masing meningkat sebanyak 3.6 peratus dan 2.1 peratus.

“Pada masa sama, oleh kerana projek ini memerlukan jentera dan kelengkapan pengangkutan, anggaran kami menunjukkan import komoditi dan penggunaan modal tetap masing-masing akan meningkat sebanyak 3.3 peratus dan 2.1 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, MIDF Research menganggarkan nilai kontrak bagi pakej kerja sivil projek ECRL untuk kontraktor tempatan adalah di antara RM9 bilion hingga RM11 bilion.

Katanya, skop kerja sivil itu berkemungkinan merangkumi kerja tanah, kerja asas dan struktur, pembinaan jejambat dan stesen serta kerja jalan.

“Nilai berkenaan diperoleh selepas mengambilkira 40 peratus bahagian untuk kontraktor tempatan, yang diputuskan secara kontrak semasa proses rundingan.

“Pengiraan ini berdasarkan bahagian kerja sivil yang kami percaya mewakili hampir 60 peratus daripada kos pembinaan keseluruhan ECRL sebanyak RM44 bilion,” katanya.

Mengulas lanjut badan penyelidikan itu menjelaskan, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) selaku kontraktor turnkey, mempunyai hak untuk melaksanakan kerja-kerja infrastruktur yang selebihnya tanpa pentauliahan kepada syarikat tempatan.

Bagaimanapun, kontraktor tempatan masih boleh bersaing untuk baki bahagian (kerja sivil) serta 100 peratus kerja sistem.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, 40 peratus kerja sivil telah diperuntukkan kepada syarikat tempatan, tidak termasuk kerja-kerja terowong.

“Namun, kerja-kerja terowong masih terbuka untuk tawaran tempatan, walaupun pada kadar minimum. Dalam jangka masa terdekat, semua mata tertumpu kepada pengumuman pemberian kontrak akan datang yang berkemungkinan diumumkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Jumaat lalu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengumumkan yang tawaran tender untuk kontraktor tempatan bagi pakej kerja-kerja sivil ECRL akan bermula pada suku keempat ini.

Katanya, sebanyak 331 syarikat kontraktor Malaysia disenarai pendek sebagai penender berpontesi melalui program Pra Kelayakan (Pre-Q) baru-baru ini dengan 234 atau 70.7 peratus daripadanya adalah syarikat Bumiputera.

MIDF Research menjelaskan, pihaknya menjangkakan kontraktor tempatan akan mula menerima manfaat daripada projek itu seawal suku keempat ini.

147 dibaca
Berita Harian X