Rabu, 31 Julai 2019 | 4:32pm
Pengurus Visa Negara bagi Malaysia, Ng Kong Boon (tiga dari kanan) ketika majlis kerjasama Visa dengan rakan niaga terbarunya, Cleanpro Express, perintis industri dobi layan diri di W Hotel. - NSTP/Owee Ah Chun

Sasar 70 peratus perkhidmatan tanpa sentuh pada 2020

KUALA LUMPUR: Visa Inc, rangkaian pembayaran terbesar di dunia menyasarkan kira-kira 70 peratus perkhidmatan pembayaran tanpa sentuh akan dilaksanakan di semua terminal pembayaran seluruh Malaysia menjelang tahun depan.

Pengurus Visa Negara bagi Malaysia, Ng Kong Boon, berkata pada masa ini, pembayaran tanpa sentuh menunjukkan pertumbuhan sangat kukuh di Malaysia.

“Perkhidmatan berkenaan menunjukkan prestasi sangat memberangsangkan di negara ini dengan mencatatkan lebih tujuh juta transaksi dalam tempoh sebulan.

“Ketika ini juga terdapat kira-kira 1,000 peniaga menggunakan pembayaran tanpa sentuh Visa dengan hampir 300,00 terminal pembayaran menerima pakai kaedah pembayaran terbabit di pasaran tempatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis kerjasama Visa dengan rakan niaga terbarunya, Cleanpro Express, perintis industri dobi layan diri negara ini, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cleanpro Laundry Holdings Sdn Bhd, Goh Sen Kiat.

Kong Boon berkata, setakat ini, sejumlah lebih 30 juta pemegang kad visa di seluruh Malaysia dengan 70 peratus daripadanya adalah pemegang kad debit.

“Ia menunjukkan pertumbuhan dua angka setiap tahun dan kami sentiasa meninjau peluang kerjasama dengan rakan niaga berpotensi lain bagi meningkatkan lagi pelaksanaan pembayaran tanpa sentuh di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Cleanpro Express, beliau berkata, ia adalah satu komitmen berterusan syarikat untuk memperkukuhkan kedudukan di Malaysia.

“Kerjasama berkenaan sekali gus menjadikan syarikat dobi itu sebagai rangkaian dobi pertama di Asia Tenggara menawarkan pembayaran tanpa sentuh kepada pelanggan.

“Pembayaran itu dapat membantu rakyat Malaysia menjalani proses lebih lancar dan pantas tanpa perlu menyediakan wang tunai.

“Inisiatif itu juga sejajar dengan matlamat Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan jumlah terminal pembayaran tanpa sentuh di Malaysia, selain mendidik komuniti tanpa tunai,” katanya.

Bermula hari ini, pengguna boleh menggunakan pembayaran tanpa sentuh di 300 cawangan dobi Cleanpro Express seluruh Malaysia termasuk cawangan Aladin Dobi dan Ibu Sayang.

255 dibaca
Berita Harian X