Isnin, 29 Julai 2019 | 11:39pm

Malaysia gesa EU iktiraf persijilan MSPO

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Kesatuan Eropah (EU) menerima dan mengiktiraf skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai salah satu skim sukarela di bawah Arahan Tenaga Diperbaharui Kesatuan Eropah (EU RED II).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dalam kenyataannya berkata pengiktirafan itu perlu memandangkan ia berkait pensijilan penggunaan perubahan guna tanah secara tidak langsung yang rendah untuk bahan api bio dan bahan cecair bio.

Katanya, Malaysia komited sepenuhnya untuk berunding secara membina dalam memastikan layanan tanpa penindasan terhadap produk minyak sawit dan mengelakkan halangan untuk akses pasaran produk sawit ke EU.

“Malaysia menekankan bahawa industri kelapa sawit Malaysia komited dalam menghasilkan minyak sawit selaras dengan piawaian MSPO, yang akan dilaksanakan secara mandatori menjelang 31 Disember ini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia juga menyuarakan kebimbangan pelaksanaan EU RED II berkali-kali di pentas Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sejak 2018 dan usaha itu akan dilaksana secara berterusan.

“Kebimbangan Malaysia turut disokong oleh negara pengeluar minyak sawit utama seperti Indonesia, Colombia, Guatemala, Honduras dan Ecuador,” katanya.

Katanya, Delegated Act bagi pelaksanaan EU RED II untuk tahun 2021-2030 akan mengenakan syarat ketat terhadap penggunaan tanaman sebagai bahan api bio di mana tanaman itu menyumbang kepada perluasan tanah ke kawasan hutan hujan, tanah lembap dan tanah gambut.

“Ini ditafsirkan sebagai perubahan guna tanah secara tidak langsung (Indirect Land Use Change (ILUC).Tanaman yang dikategorikan sebagai mempunyai ‘risiko ILUC yang tinggi’ akan dihadkan menjelang 2030.

“Minyak sawit dikategorikan sebagai mempunyai ‘risiko ILUC yang tinggi’ dalam Delegated Act itu dan ini adalah satu bentuk halangan perdagangan kepada minyak sawit,” katanya.

MITI, menurut kenyataan itu, akan terus bekerjasama dengan Kementerian Industri Utama (MPI) untuk memanfaatkan sepenuhnya dan menggunakan pelbagai pentas WTO demi memastikan kepentingan eksport minyak sawit dan pekebun-pekebun kecil terus terpelihara.

“Malaysia juga akan mempertimbangkan isu ini untuk dibawa ke mekanisme penyelesaian pertikaian di bawah WTO,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan akan terus mengkaji inisiatif bagi meningkatkan penggunaan biodiesel di pasaran domestik sebagai alternatif sekiranya eksport minyak sawit ke pasaran EU terjejas dengan pelaksanaan EU RED II.

“Bagi sektor pengangkutan, Malaysia sudah melaksanakan program B10 bermula Februari 2019 dan pada masa kini, MITI dan MPI sedang dalam proses melaksanakan cadangan penggunaan biodiesel B20 pada 2020 dan B30 pada 2025 atau lebih awal,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia secara konsisten menyuarakan kebimbangan mengenai sekatan penggunaan minyak sawit dalam bahan api bio oleh EU di WTO pada mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Alam Sekitar (CTE) (5 Mei) ; Jawatankuasa Halangan Teknikal Kepada Perdagangan (TBT) (20-21 Jun) serta Mesyuarat Majlis Perdagangan Barangan (CTG) pada 8 dan 9 Julai lalu.

123 dibaca
Berita Harian X