Jumaat, 26 Julai 2019 | 4:49pm
BEKAS Pengerusi Malaysia Airlines System Bhd (MAS), Tan Sri Dr Munir Majid (dua dari kiri) ketika ditemui di Siri Perbincangan Meja Bulat ASEAN sempena pelancaran Visi ASEAN 2040 - Pentingnya Kepimpinan Kolektif, Integrasi ASEAN dan Pemusatan Dalam Keadaan Tidak Menentu di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail

'Pihak minat ambil alih Malaysia Airlines perlu perancangan'

KUALA LUMPUR: Pihak yang berminat mengambil alih kepentingan Malaysia Airlines perlu mempunyai perancangan baik untuk memulihkannya dan bebas daripada sebarang campur tangan politik, kata bekas Pengerusi Malaysia Airlines System Bhd (MAS), Tan Sri Dr Munir Majid.

Beliau yang memegang jawatan Pengerusi MAS selama tujuh tahun berkata, ia bagi memastikan usaha pemulihan berjalan lancar.

“Saya harap apa yang dilakukan kali ini berjaya. Jika ia menerusi cadangan rakan kongsi strategik seperti yang diperkatakan ketika ini, laksanakanlah.

“Walaupun tidak mempunyai kepentingan majoriti, selagi identiti masih kekal dan usaha memulihkan syarikat penerbangan ini berjaya, ia baik untuk syarikat dan pemegang sahamnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Siri Perbincangan Meja Bulat ASEAN sempena pelancaran Visi ASEAN 2040 - Pentingnya Kepimpinan Kolektif, Integrasi ASEAN dan Pemusatan Dalam Keadaan Tidak Menentu di sini, hari ini.

Munir berkata, terdapat juga model pakatan strategik yang dilaksanakan syarikat penerbangan terkemuka lain yang berjaya seperti British Airways- Iberia dan Air France-KLM Royal Dutch Airlines.

Dalam pada itu, mengenai spekulasi cadangan Malaysia Airlines digabungkan dengan AirAsia Bhd, Munir berpendapat, langkah itu agak kurang sesuai.

Ia kerana integrasi budaya antara kedua-dua syarikat penerbangan itu sukar dilaksanakan.

Beliau berkata, lazimnya integrasi budaya yang membabitkan individu dalam syarikat berkenaan adalah perkara utama yang akan menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu usaha penggabungan syarikat.

Katanya, bersandarkan sejarah antara kedua-dua syarikat berkenaan, ia berpotensi tidak akan berjaya dari sudut budaya dan ia bukan sebab model perniagaan.

“Saya tidak fikir dari segi budaya, ia akan berjaya di antara AirAsia dan Malaysia Airlines,” katanya bagi mengulas rakan kongsi strategik yang lebih baik untuk memulihkan Malaysia Airlines.

Sebelum ini, Pengasas Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan berkata, beliau enggan terbabit dalam cadangan pengambilalihan Malaysia Airlines meskipun sebelum ini dilaporkan bersedia memulihkan syarikat penerbangan nasional itu.

83 dibaca
Berita Harian X