Rabu, 24 Julai 2019 | 12:11pm

MRL, CCCC jimat RM4 bilion kos operasi ECRL

KUALA LUMPUR: Penubuhan sebuah syarikat usaha sama antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dijangka mampu menjimatkan kos operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga RM4 bilion dalam tempoh 20 tahun.

MRL berkata, operasi syarikat kerjasama dengan pegangan masing-masing 50 peratus bagi pengendalian dan penyenggaraan rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) itu bermula selepas pembinaan ECRL selesai, iaitu pada akhir 2026.

Walaupun diwujudkan syarikat usaha sama berkenaan, MRL menegaskan, ia adalah pemilik 100 peratus semua aset ECRL dan akan kekal sebagai pemilik mutlak ECRL dan asetnya.

“Syarikat usaha sama itu akan mengendalikan dan menyenggara ECRL, berkongsi semua kos pada dasar 50:50. MRL dijangka mampu merekodkan penjimatan daripada kos operasi selama 20 tahun itu sebanyak RM4 bilion.

“Jika berlaku kerugian dari segi operasi, kerugian itu akan ditanggung secara 50:50 antara kedua syarikat. Sementara bagi keuntungan pula, ia akan dikongsi pada dasar 80:20 antara MRL dan CCCC.

“Ia juga membolehkan Malaysia dan China berkongsi latihan dan perkongsian pengetahuan dalam tempoh itu,” katanya.

MRL berkata, nisbah pendapatan operasi ECRL yang diunjurkan adalah 70 peratus daripada kargo manakala 30 peratus daripada penumpang.

ECRL yang disambung semula oleh kerajaan pada April lalu membabitkan kos pembinaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan baharu sebanyak RM44 bilion.

Ia adalah penjimatan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos di bawah perjanjian asal sebanyak RM65.5 bilion dengan pecahan kos pembinaan sebanyak RM68.7 juta setiap kilometer.

MRL berkata, pinjaman yang diperlukan bagi projek itu adalah sebanyak antara RM35 bilion hingga RM37 bilion dengan penjimatan pembayaran faedah untuk bayaran pinjaman sebanyak RM12 bilion.

“Cagaran masih kekal sama dalam bentuk jaminan kerajaan untuk pinjaman dari China EXIM. Kami menjangkakan pengurangan sehingga RM12.2 bilion bagi faedah yang perlu dibayar.

“Setakat ini, sebanyak RM19.68 bilion, termasuk bayaran pendahuluan projek ECRL sudah dibayar kepada CCCC,” katanya.

MRL berkata, perjanjian itu dicapai melalui penilaian kejuruteraan nilai yang komprehensif dalam semua aspek teknikal projek yang merangkumi jajaran Selatan Baharu melalui Negeri Sembilan.

Terma pembayaran untuk projek ECRL pula katanya akan berlandaskan kepada kemajuan kerja yang dijangka siap pada Disember 2026.

Rangkaian rel ECRL adalah sepanjang 640 kilometer termasuk trek berkembar bagi laluan utama yang akan menyingkatkan masa perjalanan dari Putrajaya ke Kota Bharu, Kelantan sekitar empat jam dengan mempunyai 20 stesen termasuk tiga stesen pertukaran.

ECRL juga mempunyai 130 kilometer laluan terowong dan laluan bertingkat secara keseluruhannya dan terpanjang akan berada di kawasan Jelebu-Semenyih dengan jarak sekitar tujuh kilometer manakala laluan bertingkat akan dibina terutama di kawasan pesisir pantai Terengganu.

MRL berkata, projek ECRL juga membabitkan pembabitan sebanyak 40 peratus kontraktor tempatan dalam kerja-kerja awam berbanding 30 peratus dalam perjanjian lalu.

INFO

* 6 gerabak untuk set kereta api Electrified Multiple Units (EMU)

* Jumlah jarak 640 kilometer

* Stesen baharu adalah Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral, Port Klang dan dua cadangan stesen baharu di Selangor dan Negeri Sembilan

Berita Harian X