Isnin, 22 Julai 2019 | 5:11pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Reuters

Defisit fiskal 3.0 peratus tahun depan sukar dicapai kerana perang dagang

KUALA LUMPUR: Kerajaan mendapati agak mencabar mencapai sasaran defisit fiskal tiga peratus yang ditetapkan bagi tahun hadapan berikutan ketidaktentuan pasaran global ekoran perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Malaysia, ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara, sedang bergelut dengan beban hutang lebih RM1 trilion (AS$243.19 bilion), yang mana kerajaan semasa yang diterajui Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menyalahkan salah tadbir kerajaan terdahulu.

Malaysia juga sedang berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan disebabkan oleh kelembapan global dan perang dagang antara AS dan China.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, Malaysia boleh mencapai sasaran defisit fiskal tahun ini sebanyak 3.4 peratus dan sasaran tiga peratus tahun depan akan menjadi lebih sukar dicapai.

“Ia akan menjadi cabaran. Kerana banyak ketidaktentuan berlaku disebabkan perang dagangan itu,” katanya dalam satu temubual eksklusif dengan Reuters.

“Terdapat kesan yang tertangguh. Keseluruhannya, semua pihak menjangkakan ia akan mula menunjukkan kesan tahun depan,” katanya.

Guan Eng berkata, beliau optimis tetapi berhati-hati dengan sasaran untuk mencapai unjuran pertumbuhan tahun penuh sebanyak 4.3 peratus kepada 4.8 peratus.

Mei lalu, Bank Negara Malaysia memberi amaran bahawa permintaan global yang lemah serta perang dagang antara AS dan China telah meningkatkan risiko untuk Malaysia.

Ia juga telah mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas buat pertama kalinya sejak Julai 2016 di tengah-tengah kebimbangan mengenai pertumbuhan.

Guan Eng berkata, walaupun mempunyai impak ke atas ekonomi, Malaysia masih boleh mendapat manfaat daripada peralihan dagangan berikutan perang dagang itu.

“Dalam jangka pendek, kami menjangkakan untuk meraih beberapa manfaat dalam bentuk peralihan perniagaan, dagangan dan pelaburan. Kami melihat angka-angka sedang menuju ke arah itu. Bagaimanapun, dalam jangka panjang, semua orang akan kalah. Tiada pemenang,” katanya.

Menteri Kewangan itu yang berjumpa dengan pegawai tinggi China semasa lawatannya ke Beijing awal bulan ini dan katanya, China menawarkan lebih banyak pelaburan prasarana di bawah inisiatif Jalur dan Laluan.

“Jika harganya betul, kami akan mengkajinya,” katanya.

Dr Mahathir yang kembali memegang kuasa selepas kemenangan pada pilihan raya Mei tahun lalu telah berjanji untuk membuat rundingan semula atau membatalkan apa yang beliau sifatkan sebagai projek China yang tidak adil yang dimeterai pentadbiran terdahulu.

Pada April, Malaysia dan China bersetuju untuk menyambung semula pembinaan projek rel bernilai tinggi selepas berunding untuk mengurangkan kos kepada hampir satu pertiga.

Guan Eng juga berkata, Malaysia dan China sedang berbincang untuk menubuhkan perkaitan antara bursa saham Shenzen dan Kuala Lumpur.

“Ini adalah satu perkaitan dalam aspek prasarana dan produk,” katanya sambil menambah ia boleh dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan akan datang. - Reuters

130 dibaca
Berita Harian X