Isnin, 22 Julai 2019 | 4:38pm
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said. - NSTP/Saddam Yusoff

PKS disasar beroperasi secara digital menjelang 2024

KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) menjangkakan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada pendigitalan perniagaan menjelang 2024, berbanding hanya 32 peratus ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said, berkata ketika ini lebih 86 peratus daripada 907,065 PKS menggunakan kaedah perkomputeran dalam operasi perniagaan yang tertumpu kepada data yang tidak dapat diproses menerusi data analitik dan kecerdasan buatan (AI).

“Angka daripada kaji selidik suku tahun SME Corp mendapati jumlah PKS yang beralih kepada pendigitalan perniagaan masih rendah dan jurangnya masih besar, namun ia boleh diperbaiki bagi memastikan PKS lebih berdaya saing.

“Negara ini tidak ketinggalan dalam peralihan dalam operasi perniagaan digital kerana negara di ASEAN juga menunjukkan peralihan ini masih lagi rendah.

“PKS harus melihat peralihan ini sebagai satu keperluan kerana apabila mereka beralih kepada pendigitalan perniagaan, ia dapat meningkatkan tahap kecekapan operasi PKS kita,” katanya pada taklimat media mengenai Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 di sini, hari ini.

Noor Azmi berkata, meskipun kos peralihan perlu ditanggung oleh PKS, ia akan memberi manfaat kepada perniagaan bagi tempoh jangka panjang, sekali gus meningkatkan daya saing syarikat tempatan.

“SME Corp sedang mempergiatkan usaha dengan mengumpul beberapa pembekal perkhidmatan bagi membantu PKS menerima pakai pendigitalan di dalam operasi mereka. Kami sudah bertemu dalam 10 pembekal perkhidmatan yang boleh membantu pendigitalan perniagaan PKS.

“PKS adalah tulang belakang kepada ekonomi negara apabila mewakili 98.5 peratus perniagaan di Malaysia. Apabila kita dapat tingkatkan daya saing mereka, saya pasti sasaran sumbangan 50 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030 dapat dicapai,” katanya.

Sementara itu, SME Corp menjangkakan Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 mampu menjana RM25 juta dari segi pemadanan perniagaan dan RM5 juta dalam jualan tunai.

Dengan tema ‘Mula Berdikit - Azam Melangit’, acara anjuran SME Corp mulai 12 Julai hingga 2 September itu dianjurkan di seluruh negara dengan membabitkan penyertaan 800 pempamer dan bakal dihadiri oleh 300,000 pengunjung.

Noor Azmi berkata, Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 dianjurkan untuk mengiktiraf PKS sebagai tulang belakang ekonomi negara selain menjadi platform menyebarkan maklumat, membudayakan keusahawanan dan meningkatkan kesedaran mengenai produk serta perkhidmatan.

“Lebih 130 aktiviti akan dijalankan sepanjang program ini bagi memberi manfaat kepada usahawan dan bakal usahawan,” katanya.

Antara aktiviti itu termasuk seminar dan bengkel oleh agensi kerajaan serta sektor swasta, pameran dan karnival jualan, pertandingan, ‘pocket talk’; bicara usahawan dan pemadanan perniagaan.

89 dibaca
Berita Harian X