Jumaat, 12 Julai 2019 | 5:00pm

Pengeluaran, eksport getah asli meningkat

KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei 2019 meningkat sebanyak 30.2 peratus kepada 44,164 tan berbanding 33,923 tan pada April 2019, pengeluaran tertinggi sejak Februari 2019.

Jabatan Perangkaan dalam kenyataan mengenai "Perangkaan Bulanan Getah Malaysia, Mei 2019” yang dikeluarkan hari ini berkata, pengeluaran juga meningkat sebanyak 23.5 peratus tahun ke tahun.

Katanya, eksport getah asli meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada 56,850 tan berbanding 55,930 tan pada April 2019.

“China ialah destinasi utama bagi eksport getah asli, iaitu sebanyak 50.5 peratus daripada jumlah eksport pada Mei 2019 diikuti Jerman (12.4 peratus), Iran (4.9 peratus), Amerika Syarikat (3.7 peratus) dan Finland (3.2 peratus),” katanya.

Harga purata bagi susu getah pada Mei 2019 turun sebanyak 2.3 peratus kepada RM4.843 sekilogram daripada RM4.9552 sekilogram pada bulan sebelumnya, manakala harga purata bagi gred Getah Piawaian Malaysia atau Standard Malaysian Rubber 20 (SMR20) meningkat kepada RM6.2565 sekilogram berbanding RM6.1386 sekilogram pada April 2019.

Jumlah penggunaan getah asli dalam negara adalah sebanyak 43,546 tan, susut 1.4 peratus daripada 44,169 tan pada April 2019.

Getah asli digunakan secara meluas dalam industri sarung tangan getah, yang penggunaannya pada Mei sebanyak 32,696 tan atau 75.1 peratus daripada jumlah penggunaan dalam negara.

“Kadar stok getah asli pada akhir Mei turun 3.4 peratus kepada 176,520 tan daripada 182,645 tan pada April,” menurut jabatan itu.

-BERNAMA

87 dibaca
Berita Harian X