Selasa, 9 Julai 2019 | 3:54pm
Abdul Latib (kiri) dan Ameen pada majlis pemeteraian perkongsian jenama dengan Tune Talk Sdn Bhd di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

TFP, Tune Talk akan lancar OneCALL

KUALA LUMPUR: TFP Solutions Bhd (TFP Group), menerusi anak syarikat milik penuh MBP Solutions Sdn Bhd, memeterai perjanjian perkongsian jenama dengan Tune Talk Sdn Bhd.

Ia bagi merealisasikan pelancaran produk teknologi kewangan (fintech) mudah alih yang akan dikenali sebagai OneCALL.

Ketua Pegawai Eksekutif TFP Group, Abdul Latib Tokimin, berkata OneCALL disasarkan khusus kepada mereka yang tidak mempunyai akaun bank, termasuklah mereka yang tinggal di luar bandar dan pekerja asing.

Beliau berkata, kira-kira dua juta rakyat Malaysia, mewakili lapan peratus daripada 24 juta penduduk dewasa, tidak memiliki akaun bank, manakala sekitar 66 peratus pekerja asing pula tidak mempunyai kemudahan perbankan.

“Kami menganggar terdapat aliran keluar RM20 bilion atau kiriman wang menerusi saluran bukan perbankan setiap tahun.

“Sehubungan itu pengenalan OneCALL adalah tepat pada waktunya,” katanya pada majlis pemeteraian perkongsian jenama itu di sini hari ini.

Abdul Latib mewakili TFP Group, manakala Tune Talk diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ameen Amaendran.

Hadir sama Pengarah Urusan TFP Group, Datuk Hussian @ Rizal Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Pemasaran Tune Talk, Joseph Lim.

Abdul Latib berkata, produk OneCALL sedang menanti kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) dan sekiranya tiada hal yang berbangkit, produk itu akan dilancarkan dalam tempoh tiga minggu akan datang.

Berita Harian X