Isnin, 8 Julai 2019 | 4:45pm
Isu untuk memulihkan Malaysia Airlines dan menjadikannya kembali menguntungkan bukan sesuatu perkara yang baharu. - Foto hiasan

Isu Malaysia Airlines perlu diselesai segera

KUALA LUMPUR: Isu untuk memulihkan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd dan menjadikannya kembali menguntungkan bukan sesuatu perkara yang baharu.

Bahkan, ia telah lama menjadi tanda tanya dalam industri penerbangan tempatan dan antarabangsa, sehingga ada yang sudah jelak dan ragu-ragu ‘bila boleh untung'?

Baru-baru ini, dilaporkan Pengasas Bersama Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab menzahirkan hasrat untuk ‘menyelamatkan’ Malaysia Airlines dengan cadangan pengambilalihan yang telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Usaha Pahamin bersama-sama lima usahawan, yang namanya tidak didedahkan, bukan atas nilai komersial tetapi lebih kepada semangat cintakan negara di mana beliau juga komited tidak akan ada pembuangan pekerja sekiranya pengambilalihan itu berjaya.

Untuk rekod, syarikat penerbangan kebangsaan Australia, Qantas Airlines Ltd pernah bercadang untuk mengambil alih Malaysia Airlines sedekad yang lalu namun tidak berjaya berikutan tekanan yang diberikan oleh pihak kesatuan pekerja.

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia juga hampir menjalinkan perjanjian pertukaran saham dengan Malaysia Airlines pada tahun 2011 namun krisis dan campur tangan dalaman Malaysia Airlines dikatakan menjadi punca kepada kegagalan berkenaan.

Persoalannya, sampai bila isu pengambilalihan Malaysia Airlines akan benar-benar berakhir?

Menurut wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin, kerajaan tidak lagi boleh tunggu terlalu lama kerana isu pemulihan dan pengambilalihan Malaysia Airlines sudah berlarutan terlalu lama, tanpa tanda kemajuan yang meyakinkan.

Beliau memuji kerana ada minat dan cadangan dari dalam negara bagi membantu mengangkat kembali martabat Malaysia Airlines.

“Kerajaan dan Khazanah pasti akan kaji semua cadangan atas merit masing-masing.

“Pencadang luar dan dalam negara boleh bergabung kerana untuk memulihkan Malaysia Airlines, pelbagai kepakaran dan pengalaman serta modal yang besar diperlukan,” saran beliau.

Malaysia Airlines telah diambil alih sepenuhnya oleh pemegang saham terbesar Khazanah Nasional Bhd pada 2014 walau ketika itu dana kekayaan negara berkenaan sudahpun memegang 70 peratus saham syarikat penerbangan itu.

Bagai ahli nujum, Dr Mahathir pada ketika itu, berjaya menelah pemilikan 100 peratus MAS oleh Khazanah tidak akan banyak berbeza dengan pemilikan 70 peratus.

Beliau hairan dengan penswastaan itu kerana Khazanah adalah syarikat milik kerajaan, katanya “adakah itu dinamakan penswastaan atau nasionalisasi?”

Walaupun telah dijadikan syarikat persendirian dan empat pelan inisiatif pemulihan menelan belanja hampir RM25 bilion ringgit telah dilakukan, ternyata peluang untuk melihat Malaysia Airlines kembali pulih tetap samar.

Lebih baik dijual atau ditutup daripada terus mencatatkan kerugian, cadang beberapa penganalisis pasaran yang beranggapan Malaysia Airlines sukar untuk dipulihkan.

Seiring dengan itu, Dr Mahathir berkata kerajaan sedang mempertimbang langkah yang sama selepas Malaysia Airlines kekal mencatat kerugian berikutan beberapa faktor termasuk kekurangan anak kapal pada separuh kedua 2018.

Perdana Menteri telah menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan tidak lagi dapat membiayai syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata masa depan industri syarikat penerbangan dijangka menyaksikan permintaan kukuh.

Oleh itu, Malaysia Airlines perlu merancang keperluan perbelanjaannya dengan terperinci dan pada masa yang sama perlu memastikan kos mereka adalah kompetitif. Selain itu, turun naik harga bahan api pesawat juga memerlukan mereka untuk mempunyai strategi melindungi nilai yang mantap, katanya.

Beliau berkata adalah berbaloi untuk Malaysia Airlines menimbangkan tawaran dibuat oleh Pahamin dan rakan kongsinya (yang masih belum diketahui) untuk mengambil alih, jika mereka mampu memulihkannya dan menambah nilai syarikat penerbangan itu.

“Kecekapan operasi amat penting kepada Malaysia Airlines terutama dalam konteks memanfaatkan teknologi untuk menambah baik pengalaman penumpang.

“Juga jangan dilupakan moral staf pengurusan berikutan langkah rasionalisasi sebelum ini menyaksikan pembuangan sejumlah besar pekerja.

“Ini adalah penting kerana sumber manusia adalah faktor kejayaan yang penting terutama dalam mengendalikan penumpang,” katanya.

Pahamin juga dilaporkan berkata, sekiranya cadangan mereka untuk mengambil alih syarikat penerbangan itu diterima oleh kerajaan, tidak akan ada pembuangan pekerja, mengekalkan jenama syarikat penerbangan kebangsaan itu, dan tiada pinjaman atau jaminan daripada kerajaan.

Cadangan itu ditawarkan menerusi syarikat mereka, Najah Air Sdn Bhd.

Cadangan itu wajar dipertimbangkan dengan serius berikutan ia dibuat oleh kalangan mereka yang telah menguruskan syarikat penerbangan tambang rendah dengan jayanya.

Meletakkan Malaysia Airlines di landasan untuk meraih keuntungan dengan cepat perlu menjadi keutamaan.

Tidak perlu tunduk kepada tekanan kumpulan yang mempunyai pelbagai kepentingan yang hanya akan menjejaskan inisiatif tulen untuk memacu pasaran demi memulihkan Malaysia Airlines. - BERNAMA

230 dibaca
Berita Harian X