Jumaat, 5 Julai 2019 | 4:18pm

Stok sawit jatuh empat bulan berturut-turut

KUALA LUMPUR: Inventori minyak sawit di Malaysia dijangka susut ke paras terendah dalam tempoh setahun pada Jun berikutan penggunaan domestik dan eksport mengatasi pengeluaran, demikian menurut tinjauan Reuters.

Stok bekalan di Malaysia, yang juga pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dijangka susut kepada 2.35 juta tan menjelang akhir Jun, susut empat peratus daripada Mei, demikian menurut jangkaan median dari tujuh peladang, pedagang dan penganalisis yang menyertai tinjauan Reuters.

Ia mungkin menjadi paras terendah dalam 11 bulan dan menandakan penurunan inventori untuk bulan keempat berturut-turut.

Kemerosotan bekalan boleh membantu menyokong harga penanda aras minyak sawit yang susut lapan peratus dalam separuh pertama tahun ini.

Kali terakhir ia meningkat 0.2 peratus kepada RM1,954 adalah pada Jumaat.

Penganalisis perladangan Kenanga Research, Lavis Chong berkata secara keseluruhannya, dengan pergerakan penggunaan domestik dan import yang stabil, ia menjangka jumlah permintaan akan mengatasi bekalan dan mengakibatkan stok bekalan yang lebih rendah.

“Kami percaya pengeluaran akan mengundurkan pertumbuhan pada Mei dan susut pada Jun disebabkan kekurangan pekerja semasa sambutan Syawal,” katanya.

Responden tinjauan berkenaan menyaksikan pengeluaran pada Jun susut lapan peratus kepada paras terendah dalam 11 bulan iaitu 1.54 juta tan walaupun ia mungkin menjadi paras tertinggi pada bulan berkenaan sejak 2015.

Ia menjadikan pengeluaran di negara ini bagi separuh pertama tahun ini kepada 9.8 juta tan.

Ia berbanding 8.9 juta tan bagi separuh pertama 2018 berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan unjuran setahun penuh sebanyak 20 juta tan daripada tinjauan Reuters awal tahun ini.

-Reuters

592 dibaca
Berita Harian X