Khamis, 4 Julai 2019 | 8:45pm
Pengarah Pelaburan Invesco Asset Management Singapore Ltd, Jalil Rasheed. - Foto Amirudin Sahib

Penjualan Malaysia Airlines wajar dipertimbang: pakar

KUALA LUMPUR: Penjualan kepentingan dalam Malaysia Airlines kepada pihak berpotensi adalah pilihan yang boleh dipertimbangkan bagi menjamin kelangsungan dan daya saing syarikat penerbangan itu, kata seorang pakar pelaburan.

Pengarah Pelaburan Invesco Asset Management Singapore Ltd, Jalil Rasheed, berkata ia bagi membolehkan Malaysia Airlines berdepan persekitaran kos yang mencabar serta persaingan sengit industri penerbangan.

Katanya, langkah menjual kepentingan atau menjalin usaha sama bukan sesuatu yang tidak baik, namun yang penting adalah memastikan pembeli berpotensi mampu memulihkan tanpa menjejaskan identitinya sebagai syarikat penerbangan nasional, selain mengekalkan kakitangannya.

Beliau berkata, dinamik dalam industri penerbangan memerlukan Malaysia Airlines untuk kukuh kerana bagi mengendalikan perniagaan penerbangan, implikasi kos adalah sangat rumit memandangkan pesawat beroperasi pada kos tetap tanpa mengira jumlah penumpang dibawanya.

Tambahan lagi, katanya terdapat syarikat penerbangan utama lain yang mempunyai kemampuan untuk menambah nilai kepada perkhidmatan ditawarkan untuk terus kekal berdaya saing.

“Dinamik persaingan adalah sangat berbeza. 20 tahun dulu, Malaysia Airlines adalah syarikat penerbangan yang anda mahu, tetapi kini ia bukan lagi.

“Ia bukan lagi satu-satunya syarikat penerbangan di dunia, kini sudah banyak syarikat penerbangan,” katanya bagi mengulas mengenai langkah terbaik memulihkan Malaysia Airlines.

Sementara itu, Jalil berkata, masalah Malaysia Airlines ialah syarikat itu sering dikaitkan dengan kebanggaan negara kerana namanya sebagai ‘Malaysia Airlines’ dan ia mesti dimiliki oleh Malaysia.

“Kita sudah banyak kali menukar pengurusan, menyelamatkannya pun sudah banyak kali, saya rasa kita hanya berlegar di situ juga, namun tidak dapat mencari penyelesaian.

“Jika sudah ada pembeli, jual saja dan pastikan identitinya kekal, kakitangan juga kekal. Terdapat ramai usahawan berbakat di luar sana yang bersedia untuk melaksanakannya,” katanya dalam satu temu bual.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan mahu identiti Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan negara terus dikekalkan biarpun selepas ia dijual.

Beliau berkata, kerajaan juga bersedia mempertimbangkan penjualan syarikat penerbangan nasional itu sekiranya terdapat tawaran baik.

Dalam laporan BH dengan memetik sumber hari ini, Pengasas Bersama Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan rancangan membantu kerajaan memulihkan Malaysia Airlines.

Selain itu, terdapat juga khabar bahawa syarikat penerbangan Jepun, Singapura, beberapa pihak dari Eropah dan Australia juga menunjukkan minat untuk bekerjasama memulihkan syarikat penerbangan nasional itu.

Berita Harian X