Rabu, 3 Julai 2019 | 9:29pm

Litrak, Sprint Holdings terima tawaran kerajaan

KUALA LUMPUR: Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) dan syarikat sekutunya, Sistem Penyuraian Trafik KL Pusat Holdings Sdn Bhd (Sprint Holdings) dijangka mengadakan rundingan susulan dengan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) untuk memperincikan terma dan syarat perjanjian cadangan pembelian lebuh raya bertol.

Ia susulan kedua-dua syarikat itu mencapai persetujuan menerima tawaran kerajaan membabitkan pengambilalihan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sprint, dengan sasaran memuktamadkan perjanjian dengan sebuah syarikat tujuan khas dimiliki MOF Inc menjelang 30 Ogos kelak.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Litrak berkata Lembaga Pengarah kedua-dua syarikat "secara sebulat suara mendapati tawaran itu adil dan berpatutan".

Bagaimanapun, syarikat itu berkata, proses muktamad perjanjian tertakluk kepada penerimaan tawaran Kesas dan Smart, keputusan kajian daya maju yang memuaskan oleh MOF Inc serta kelulusan Kabinet.

Bulan lalu, pihak MOF Inc membuat tawaran untuk membeli anak syarikat milik penuh Litrak, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (konsesi LDP) pada harga RM2.47 bilion dan 50 peratus kepentingan Sprint Holdings pada RM1.98 bilion.

Kedua-dua tawaran ini adalah saling bersyarat dan bersyarat dalam tawaran bagi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart).

Gamuda Bhd dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd sebelum ini menyatakan minat menerima tawaran MKD terhadap kepentingan ekuiti masing-masing sebanyak 30 peratus dan 20 peratus dalam Sprint Holdings.

Bahkan, Gamuda juga menerima tawaran membabitkan pengambilalihan Kesas and Smart.

198 dibaca
Berita Harian X