Rabu, 3 Julai 2019 | 6:50pm
Pengasas Bersama Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab.

Pahamin jumpa PM bincang pulih Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Pengasas Bersama Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi membincangkan rancangan membantu kerajaan memulihkan Malaysia Airlines Bhd.

Pertemuan Pahamin dengan Perdana Menteri itu turut disertai empat orang usahawan yang namanya tidak didedahkan umum.

Sumber yang rapat dengan perkara itu berkata, usaha menyelamatkan Malaysia Airlines itu diketuai oleh Pahamin bersama lima lagi usahawan.

Ini kerana katanya, kesemua mereka terpanggil untuk menyelamatkan syarikat penerbangan negara itu disebabkan maruah dan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

“Pasukan ini mempunyai niat untuk memulihkan Malaysia Airlines sekaligus menyelamatkan maruah negara. Seramai enam orang akan bersama dalam perkara ini.

“Usaha ini bukan atas nilai komersial tetapi lebih kepada semangat cintakan negara,” katanya.

Beberapa laporan sebelum ini mengaitkan Pahamin sebagai individu yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Airlines dan Malaysia Aviation Group.

Pahamin juga sering dikatakan sebagai orang tengah AirAsia dalam usaha mengambil alih Malaysia Airlines bagi memulihkan syarikat penerbangan nasional.

Sementara itu, seorang sumber yang rapat dengan AirAsia pula menafikan pertemuan Pahamin dengan Dr Mahathir adalah bagi pihak syarikat penerbangan tambang murah itu.

Beliau berkata, selama beberapa tahun ini, Pahamin tidak mempunyai campur tangan urusan dengan AirAsia selepas persaraannya sebagai pengerusi syarikat penerbangan itu pada 2008.

“Namun, Pahamin kini adalah penasihat kepada sebuah syarikat berkaitan dengan industri pengangkutan.

“Pahamin ketika awal permulaan AirAsia dulu banyak membantu Tan Sri Tony Fernandes.

“Berkemungkinan besar Pahamin bersama usahawan terbabit dalam mesyuarat itu mempunyai perancangan pemulihan Malaysia Airlines, atau mungkin juga bagi membincangkan mengenai syarikatnya,” katanya.

Berita Harian X