Rabu, 3 Julai 2019 | 1:29pm
Maybank hari ini melancarkan penyelesaian pembayaran terbaharunya, Tap2Phone. - NSTP/Aziah Azmee

Maybank sasar penerimaan 10,000 peranti Tap2Phone

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) hari ini melancarkan penyelesaian pembayaran terbaharunya, Tap2Phone, untuk perniagaan kecil, dengan mensasarkan titik penerimaan lebih 10,000 peranti dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Naib Presiden Eksekutif Kanannya, Datuk Hamirullah Boorhan.

Beliau berkata, penyelesaian pembayaran terkini itu akan menambah RM350 juta dalam nilai transaksi pedagang, selain RM60 bilion dalam transaksi semasa.

“Kami yakin perkhidmatan baharu ini akan membantu meningkatkan penggunaan teknologi tanpa tunai dalam kalangan perniagaan, yang seterusnya akan mengurangkan kos infrastruktur pedagang, selain menyokong permintaan yang semakin meningkat ke atas kemudahan pembayaran elektronik dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran penyelesaian pembayaran itu hari ini.

Tap2Phone disokong telefon pintar berasaskan Android terkini, dengan set protokol komunikasi serta teknologi pelaksanaan yang dipercayai bagi memudahkan pembayaran kad kredit, debit dan kad prabayar.

Dengan fi minimum RM5 sebulan, penyelesaian pembayaran ini membolehkan perniagaan kecil menerima pembayaran kad daripada pelanggan menerusi aplikasi di telefon mudah alih mereka tanpa perlu ke terminal titik jualan.

“Perkhidmatan Tap2Phone menerima semua pembayaran tanpa sentuh untuk transaksi RM250 ke bawah,” katanya dan menambah penyelesaian pembayaran itu yang menyaksikan usaha sama Maybank dan Visa itu adalah yang pertama di Asia Tenggara.

Sementara tu, Pengurus Visa Negara, Ng Kong Boon berkata syarikat teknologi pembayaran global melihat peluang besar dalam pemindahan tunai dalam kalangan perniagaan kecil dan pedagang.

"Perusahaan kecil dan sederhana menyumbang hampir 40 peratus daripada urus niaga produk, dan banyak urus niaga kasar domestik Malaysia hari ini masih menggunakan wang tunai.

"Transaksi tanpa sentuh di Malaysia kini semakin popular, dengan empat daripada sepuluh transaksi Visa adalah tanpa sentuh. Memandangkan rakyat Malaysia sudah biasa menggunakan kaedah pembayaran tanpa sentuh, kami percaya kedua-dua peniaga dan pengguna akan menggunakan penyelesaian murah dan mudah ini.

"Ini akan membantu meningkatkan kecekapan penerimaan pembayaran digital di negara ini dan mempromosi Malaysia sebagai negara tanpa tunai, sejajar dengan wawasan Bank Negara," katanya. - BERNAMA

337 dibaca
Berita Harian X