Isnin, 1 Julai 2019 | 8:00am

CGS-CIMB Securities mula operasi di Malaysia

KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Securities Sdn Bhd (CGS-CIMB Malaysia), usaha sama pembrokeran saham antara CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) dan China Galaxy International Financial Holdings Ltd (CGI), anak syarikat milik penuh China Galaxy Securities Co CGS), beroperasi secara rasmi hari ini.

Dalam satu kenyataan bersama, CIMB dan CGS berkata syarikat itu masing-masing memiliki pegangan 50 peratus dalam CGS-CIMB Malaysia yang meliputi perniagaan pembrokeran institusi dan runcit, pembiayaan marjin saham untuk pelanggan pembrokeran, perkhidmatan pembiayaan ekuiti dan penyelidikan ekuiti serta pembrokeran derivatif terbitan bursa yang tersenarai menerusi unit milik penuhnya, CGS-CIMB Futures Sdn Bhd.

CIMB dan CGS adalah rakan kongsi dalam CGS-CIMB Securities International, platform yang menguruskan operasi perniagaan broker saham operasi di rantau ini.

"Kami berbangga dapat melengkapkan penyertaan perniagaan pembrokeran saham CIMB Malaysia menerusi kerjasama dengan China Galaxy. Platform ini dapat memanfaatkan kepakaran bersama, inovasi digital dan akses pasaran lebih luas untuk menawarkan penyelesaian lebih baik kepada pelanggan selain dapat meningkatkan industri broker saham negara.

“Langkah ini turut menjadi usaha penting untuk meningkatkan pelaburan dan aliran modal antara ASEAN dan China. Saya yakin kerjasama ini akan menghasilkan cadangan nilai berbeza untuk pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan CGS-CIMB serta CGS dan CIMB secara berasingan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbankan Borong Kumpulan CIMB Group, Shahnaz Jammal.

Sementara itu, CEO CGI Derrick Lau menyifatkan kejayaan penyelesaian usaha sama dengan CIMB di Malaysia akan hanya memperkukuh kerjasama pembrokeran saham dengan CIMB.

"Pemuktamadan CGS-CIMB Malaysia ini akan memperkukuh dan meletakkan kedudukan platform usaha sama keseluruhan kami sebagai broker saham pilihan di Asia untuk memanfaatkan aliran kenaikan pelaburan rentas sempadan di bawah inisiatif ‘Belt And Road’ (Jajaran dan Laluan) China. Kami juga yakin hasil usaha sama dengan CIMB dan seluruh pasukan di CGS-CIMB Malaysia dengan berkongsi matlamat sama, akan membolehkan kami meningkatkan tahap industri broker saham Asia," katanya.

Bagi CEO CGS-CIMB Malaysia Ruzi Rani Ajith, penyertaan CGS sebagai pemegang saham baharu serta kedudukan serantau platform dan kemampuan penyelidikan CGS-CIMB Securities International, akan menjadi sinergi besar yang menyokong CGS-CIMB Malaysia memenuhi objektif pelaburan pelanggan serta menghubungkan mereka dengan pelbagai peluang di Asia.

CGS-CIMB memiliki lebih 40 tahun kepakaran pembrokeran saham kumulatif dan antara perintis broker saham di Asia Tenggara dengan perniagaan termasuk pembrokeran runcit, ekuiti institusi, derivatif, perkhidmatan utama, penyelidikan ekuiti, pengurusan kekayaan dan pembrokeran dalam talian.

CGS-CIMB Malaysia adalah antara firma sekuriti terkemuka di pasaran Malaysia dengan nilai urus niaga bernilai RM65.1 bilion setakat 31 Mei, 2019. - BERNAMA

138 dibaca
Berita Harian X