Jumaat, 28 Jun 2019 | 4:27pm
SAIFUDDIN Nasution Ismail.

MyCC akan kaji semula pasaran sektor runcit dan borong

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan memulakan Kajian Semula Pasaran bagi sektor peruncitan dan borong untuk memahami lebih mendalam sektor tersebut, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kajian pasaran untuk dua sektor itu dijalankan selepas laporan kajian pasaran bagi sektor makanan yang dijangka dikeluarkan pada 31 Julai ini.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna adalah kementerian yang mengawal selia industri borong dan peruncitan.

"Proses untuk melakukan kajian semula ini adalah proses berterusan, cuma saya minta MyCC untuk fokus kepada lima barangan (dahulu)… ini adalah tambahan kepada analisis rantaian bekalan yang dibuat pihak kementerian," katanya selepas merasmikan majlis penutupan Minggu Persaingan EU-ASEAN yang pertama di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.

Kajian semula pasaran bagi sektor makanan membabitkan lima barangan terpilih iaitu kubis, sawi, daging lembu, ikan kembung dan susu tepung bayi telah dijalankan sejak November 2018.

Saifuddin berkata, kajian semula pasaran bagi sektor makanan adalah untuk memberi gambaran jelas dan analisis tentang sektor makanan kepada kerajaan sebelum satu dasar digubal.

"Mereka (MyCC) telah melakukan libat urus dan konsultasi secara meluas dengan orang awam dan MyCC pada masa ini berada pada peringkat akhir untuk menyediakan laporan akhir dan kita jangka (akan dikeluarkan) pada 31 Julai ini," katanya.

Saifuddin berkata, kementerian akan terus memantau harga pasaran setelah cukai gula ke atas minuman bergula dilaksanakan bermula 1 Julai ini.

"Minuman berkarbonat tidak termasuk dalam barangan kawalan dan tertakluk kepada peratusan kenaan cukai dan juga penawaran dan permintaan.

“Kementerian akan memantau jika ada aduan yang berbangkit. Sudah tentu undang-undang sedia ada akan diguna pakai, " tambahnya. - BERNAMA

Berita Harian X