Khamis, 27 Jun 2019 | 6:14pm
MOHD Redzuan Md Yusof

Lantik lebih banyak MNC, PLC perkasa agenda PPV

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan melantik lebih banyak syarikat multinasional (MNC) dan syarikat senaraian awam (PLC) sebagai syarikat peneraju bagi merangsang agenda Program Pembangunan Vendor (PPV).

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata MED kini mensasarkan lebih banyak penyertaan di kalangan syarikat MNC, PLC selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kita akan memperluaskan skop pembabitan industri untuk terus memperkasakan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera.

“Contohnya, kita lantik syarikat besar yang diberi kontrak bernilai tinggi oleh kerajaan untuk menjadi syarikat ‘anchor’ PPV. Jika dahulu, kita hanya mengehadkan penyertaan di kalangan GLIC dan GLC, tetapi kini ia diperluaskan kepada syarikat MNC dan PLC termasuk dari Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Program Pembangunan Vendor (MPPPV) Pertama di bawah MED, di sini, hari ini.

Sehingga Januari 2019, sejumlah 21 syarikat peneraju dan 1,354 vendor yang berdaftar di PPV dengan nilai perolehan yang dicatatkan mencapai hampir RM5 bilion.

PPV adalah satu inisiatif agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang bertujuan mewujud dan membangunkan usahawan vendor Bumiputera dalam sektor perkilangan atau perkhidmatan berdaya saing, berdaya tahan dan bertaraf global.

Mohd Redzuan berkata, kementeriannya kini dalam usaha untuk menyelaraskan vendor yang lebih berhala tuju termasuk merangka strategi baharu PPV bagi mendepani landskap ekonomi lebih mencabar menjelang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Antara strategi itu adalah berhubung perluasan pasaran perniagaan, pembiayaan kompetitif, pewujudan vendor berbilang tingkat dan penerokaan sektor yang berpotensi serta berteknologi tinggi.

“Kita turut memfokuskan sektor strategik yang lebih memberikan kapasiti membangunkan kebolehan dan daya saing kepada usahawan untuk menerokai pasaran luar,” katanya.

Katanya, peranan syarikat peneraju bekerjasama dengan MED adalah penting untuk merealisasikan sasaran negara keusahawanan yang terkandung dalam Keusahawanan Nasional (DKN) pada masa depan.

PPV menerima peruntukan sebanyak RM61 juta di bawah RMK-11 iaitu RM30 juta bagi Geran Penyelidikan dan Pengkomersialan Vendor (GPPV) dan RM31 juta untuk Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV).

64 dibaca
Berita Harian X