Khamis, 27 Jun 2019 | 11:44am
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di Kementerian Kewangan Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Defisit dijangka di bawah 3.0 peratus 2021

PUTRAJAYA: Kerajaan terus memperkukuhkan kedudukan fiskal negara dengan defisit fiskal diunjurkan di bawah tiga peratus menjelang 2021.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pengukuhan fiskal adalah perlu untuk mengekalkan penarafan hutang negara yang tinggi pada A3/A-.

Beliau berkata, kerajaan mengurangkan secara beransur-ansur defisit fiskal daripada 3.7 peratus pada 2018 kepada 3.4 peratus tahun ini dan 3.0 peratus pada 2020.

"Menjelang 2021, kita boleh mengurangkan ia (defisit) di bawah 3.0 peratus," katanya pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di sini, hari ini.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober 2019.

Guan Eng berkata, legasi isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengekang perbelanjaan kerajaan.

Beliau berkata, negara menderita dengan skandal RM52 bilion 1MDB, RM50 bilion oleh skandal berkaitan 1MDB dan RM50 bilion lagi daripada Lembaga Tabung Haji dan FELDA.

"Tiada negara di dunia boleh kehilangan RM150 bilion tanpa terjejas," katanya.

Guan Eng berkata, paras hutang dan liabiliti kerajaan berkurangan kepada 75.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 berbanding 79.3 peratus daripada KDNK pada 2017.

Beliau berkata, pengurangan itu berikutan kawalan ketat terhadap perbelanjaan pelbagai projek dan juga pertumbuhan ekonomi negara.

Guan Eng juga berkata, kerajaan berharap ekonomi Malaysia menghampiri 5.0 peratus tahun ini.

100 dibaca
Berita Harian X