Isnin, 24 Jun 2019 | 5:24pm
PRESIDEN Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah menyerahkan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkasa negeri Kedah di Yan, hari ini. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Angkasa mahu jadikan Kedah hab pengeluaran jagung bijirin

YAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bercadang menjadikan Kedah sebagai hab pengeluaran jagung bijirin selepas projek tanaman itu di Napoh dekat Jitra mengeluarkan hasil pada September ini.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata menerusi usahasama yang baik antara pihaknya dengan syarikat perladangan, Famox Plantation (M) Sdn. Bhd, projek itu diyakini mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bijirin bagi kegunaan makanan ternakan tempatan.

Katanya, sehingga kini tanaman jagung di kawasan tanah seluas 83 hektar menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan Angkasa akan memperluaskan tanaman itu di daerah-daerah lain dengan anggaran peruntukkan keseluruhan berjumlah RM1.7 juta.

“Kerjasama kita dengan Famox Plantation (M) Sdn Bhd pada Mei lalu telah menampakkan hasilnya apabila kita menjangkakan dapat menghasilkan kira-kira 520 tan metrik jagung bijirin dengan pulangan kepada koperasi sebanyak RM1.2 juta.

“Ianya projek fasa pertama dengan peruntukkan kira-kira RM700,000, InsyaAllah kita bersedia untuk memperluaskan tanaman ini di kawasan lain dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah yang menunjukkan minat berkenaan industri tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkasa negeri Kedah di sini, hari ini.

Abdul Fattah berkata, sekiranya projek terbabit berjaya mencapai objektif yang disasarkan, Angkasa berhasrat mengembangkannya dengan pembabitan 12 koperasi di kawasan lain yang akan ditentukan kemudian.

“Dengan penghasilan sendiri jagung bijiran ini, saya percaya ramai penternak di negeri ini akan mudah mendapatkan produk tersebut dengan harga lebih murah dan halal dan pada masa sama ia dapat menambahkan hasil kepada anggota koperasi,” katanya.

Menurutnya ketika ini negara mengimport bekalan jagung bijirin mencecah RM3.9 bilion dalam usaha menampung permintaan makanan ternakan di pasaran tempatan. - BERNAMA

48 dibaca
Berita Harian X