Isnin, 24 Jun 2019 | 9:00am
Kerajaan kawal peningkatan perbelanjaan menerusi kawal selia harga tol. - Foto hiasan

Pengambilalihan lebuh raya kurangkan jumlah pampasan

KUALA LUMPUR: Pengambilalihan empat lebuh raya utama oleh kerajaan memberi manfaat terutama dalam membantu mengurangkan jumlah pampasan membabitkan syarat perjanjian konsesi mengenai kenaikan harga tol.

Penganalisis ekonomi berkata, meskipun pengambilalihan bernilai RM6.2 bilion itu memberi kesan kepada kewangan negara, kerajaan berupaya mengawal peningkatan perbelanjaan akibat pembiayaan pembelian berkenaan menerusi kawal selia harga tol.

Ketua Penyelidik MIDF Research, Mohd Redza Abdul Rahman, berkata dari segi manfaat kepada rakyat pula, pengambil alihan itu memungkinkan berlaku pemansuhan tol pada masa depan, apabila kewangan negara kembali pulih dan mengizinkan, tanpa melalui rundingan dengan pemegang konsesi dan pemegang bon konsesi berkenaan.

“Memang ia (pengambil alihan) akan memberi kesan terhadap kewangan kerajaan, tetapi kita juga perlu melihat dari sudut penjimatan perbelanjaan pampasan.

“Pada masa sama, usaha berkenaan turut memberi manfaat terhadap rakyat yang mana sekurang-kurangnya nilai tol yang perlu dibayar tidak akan naik mendadak (seperti dalam perjanjian konsesi) atau mungkin akan dimansuhkan terus.

“Ia juga akan mengurangkan beban perbelanjaan bulanan rakyat, memandangkan perbelanjaan ini adalah salah satu perbelanjaan tetap bulanan yang tidak selalunya boleh dielakkan dibandingkan dengan perbelanjaan seperti makan di restoran,” katanya kepada BH, semalam.

Mohd Redza berkata, pada masa depan, penjimatan itu akan dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat serta mempunyai tambah nilai tinggi dalam membolehkan rakyat yang tinggal jauh menikmati peluang yang disediakan.

“Langkah itu turut memberi peluang kepada syarikat besar, kecil dan sederhana untuk beroperasi di luar bandar, sekali gus turut memberi peluang pekerjaan bagi mereka yang tinggal di luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata manfaat utama menerusi langkah itu ialah pengurangan kos pengangkutan pihak swasta, iaitu individu dan peniaga yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

“Bagi pihak kerajaan pula, perbelanjaan yang digunakan perlu diterjemahkan melalui peningkatan produktiviti negara serta kos perniagaan lebih kompetitif.

“Justeru, penguatkuasaan undang-undang sedia ada seperti Akta Kawalan Harga dan Akta Pencatutan perlu diperhebatkan bagi memastikan kesan daripada pelaksanaan langkah berkenaan dapat dirasai oleh semua pihak, baik swasta mahupun kerajaan.

“Selain itu, kerajaan juga perlu meyakinkan komuniti pelabur dan agensi penarafan kredit bahawa kedudukan kewangan sentiasa berada dalam keadaan berdaya saing melalui strategi mempelbagaikan hasil negara serta perbelanjaan yang berhemah. Ia bagi memastikan defisit dan hutang kerajaan berada dalam tahap terkawal,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berpendapat pengambilalihan itu turut mengambil kira kepentingan untuk menangani hutang negara.

Beliau berkata, implikasi daripada pengambilalihan lebuh raya terbabit membolehkan kerajaan tidak berhutang secara langsung, tetapi hutang melalui bon yang akan ditanggung oleh syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) bagi tujuan pengambilalihan.

“Namun, risiko tidak mampu membayar hutang ini adalah rendah kerana punca pendapatan daripada empat lebuh raya itu adalah stabil dan berterusan meningkat,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pengambil alihan empat lebuh raya iaitu Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (RM1.984 bilion), Lebuh Raya Shah Alam Sdn Bhd (KESAS) (RM1,377 bilion) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) (RM369 juta).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dipetik berkata, jika proses pengambilalihan lebuh raya berkenaan berjalan lancar, kerajaan melalui sebuah (SPV) akan mengambil alih lebuh raya terbabit pada 31 Disember ini.

925 dibaca
Berita Harian X