Ahad, 23 Jun 2019 | 4:52pm

Luno Malaysia optimis untuk beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Luno Malaysia Sdn Bhd, satu daripada syarikat tukaran aset digital (DAX) pertama di Malaysia, optimis mampu mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam masa terdekat bagi membolehkannya beroperasi secara sah sepenuhnya.

SC pada awal bulan ini mendaftarkan tiga Pengendali Pasaran Yang Diiktiraf (RMO) untuk mengendalikan DAX di Malaysia iaitu Luno Malaysia, SINEGY Technologies (M) Sdn Bhd dan Tokenize Technology (M) Sdn Bhd.

Ketiga-tiga pengendali RMO berkenaan diberi tempoh sehingga sembilan bulan untuk memenuhi semua keperluan pengawal seliaan bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah sepenuhnya.

Mengulas lanjut perkara itu, Pengurus Pemasaran Luno Malaysia, Aaron Tang, berkata pihaknya kini sedang giat menyiapkan dokumen yang diperlukan oleh SC sebagai syarat untuk diluluskan.

“Dari segi perkembangan, saya tidak boleh beritahu dengan tepat sejauh mana kami sudah bersedia, namun saya boleh katakan yang kami yakin sistem syarikat sudah memenuhi keperluan SC.

“Ketika ini, sistem ini perlu diuji oleh SC terlebih dulu sebelum boleh diluluskan dan kami sedang menyediakan dokumen yang diperlukan bagi tujuan itu,” katanya kepada BH ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Luno Malaysia, anak syarikat Luno yang berpangkalan di London menyediakan perkhidmatan jual beli mata wang kripto dan sehingga kini, syarikat itu sudah mempunyai lebih 2.5 juta pelanggan di seluruh dunia.

Mengulas lanjut Aaron berkata, SC amat menitikberatkan soal keselamatan pelabur dan mahu memastikan sistem yang dibangunkan syarikat itu benar-benar selamat dan tidak boleh atau amat sukar untuk digodam.

Katanya, kerana itu Luno juga amat mengambil berat mengenai soal keselamatan dan setakat ini sistemnya tidak pernah digodam biarpun pernah ada cubaan untuk berbuat demikian.

"Sistem kami mempunyai tiga lapisan keselamatan iaitu 'hot wallet', 'cold wallet' dan 'deep freeze' yang mana sistem sebegini adalah mengikut standard dunia.

"Ada sesetengah pengendali hanya menggunakan dua lapisan keselamatan, tetapi kami sanggup melabur lebih asalkan keselamatan aset pelabur kami terjamin daripada dicuri," katanya.

Jelasnya, Luno buat masa ini hanya menawarkan dua jenis mata wang kripto iaitu Bitcoin dan Ethereum dan merancang menambah satu lagi mata wang kripto iaitu Ripple.

SC pada masa ini hanya meluluskan tiga jenis mata wang kripto sahaja untuk didagangkan di Malaysia iaitu Bitcoin, Ethereum dan Ripple.

Ditanya mengenai perkembangan industri mata wang kripto di Malaysia, Aaron berkata, ia menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila pada suku pertama lalu mencatatkan transaksi tukaran dagangan bernilai RM60 juta.

"Jumlah ini direkodkan ketika SC mengarahkan supaya semua DAX menghentikan aktiviti jual beli dan perlu mendaftar mendapatkan kelulusan terlebih dulu.

"Jadi, bayangkan selepas DAX sudah boleh beroperasi secara sah sepenuhnya. Sudah tentu nilai transkasi akan meningkat lebih banyak," katanya.

195 dibaca
Berita Harian X