Rabu, 19 Jun 2019 | 9:31pm

BNM kukuh kawal selia elak skandal 1MDB berulang

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengukuhkan kawal selia untuk mengelakkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada berulang, kata Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Bloomberg melaporkan beliau sebagai berkata, BNM tidak boleh membenarkan satu lagi skandal seperti 1MDB daripada berulang kerana ia telah menarik perhatian bukan sahaja di Malaysia tetapi juga bank-bank di beberapa negara lain.

“Disebabkan itulah kami mempunyai cadangan daripada Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF). Di negara-negara yang dinilai menentang cadangan itu, FATF ingin melihat bidang-bidang peningkatan yang diperlukan oleh sebuah negara untuk mengukuhkan kawalan terhadap pengubahan wang haram.

“Anda perlu membaca laporan mengenai Malaysia dan laporan negara-negara lain. Kebanyakan pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap pihak yang dikawalselianya.

“Ini adalah eksesais yang berguna untuk kami kerana menyedari bahawa walaupun kita mempunyai kerangka pencegahan yang baik, ada bidang yang kita masih perlu perkukuhkan.

“Ini termasuk kawalan dan tadbir urus di bank serta sistem pendakwaan di Malaysia yang perlu menyasarkan lebih banyak jenayah berisiko tinggi,” katanya dalam satu wawancara rasmi pertama dengan media asing yang turut disertai Bloomberg, hari ini.

Ditanya mengenai pendiriannya terhadap mata wang digital dan kripto, Nor Shamsiah berkata, pendirian BNM adalah sentiasa untuk mengurangkan jumlah wang tunai dalam ekonomi dan mempromosikan e-pembayaran.

Katanya, pihaknya telah melihat peningkatan e-pembayaran per kapita secara dramatik di Malaysia selain penggunaan cek juga telah menurun.

“Tiada keperluan mendesak untuk memperkenalkan mata wang kripto. Kami juga telah memasuki perjanjian pengawalseliaan bersama dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengenai pengawalseliaan aset kripto. SC akan menjadi pengawal atur utama yang mengawal selia pertukaran digital,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai sama ada mata wang yang disokong oleh emas dapat membantu mengurangkan ketidaktentuan, beliau berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pernah mengakui bahawa kebergantungan yang amat besar terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) boleh menjadi punca kepada kelemahan.

“IMF sedang mencari cara untuk mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS untuk memastikan bahawa ini tidak menimbulkan risiko kepada ekonomi.

Perkara ini bukan unik di Malaysia tetapi IMF sendiri mengakui bahawa ia perlu ditangani,” katanya.

Tambahnya, pasaran kewangan Malaysia juga berkembang dengan amat baik, selain pasaran bon adalah cair dan kadangkala ia sendiri boleh menimbulkan ketidaktentuan kerana pelabur boleh mempunyai pendedahan terhadap ASEAN dengan melabur di Malaysia.

Tetapi katanya, jika terdapat risiko sentimen maka mudah bagi mereka untuk keluar dari pasaran Malaysia dan mengurangkan pendedahan ASEAN.

“Tetapi ini adalah ketidaktentuan yang datang dengan mempunyai pasaran kewangan yang mendalam. Kami mempunyai dasar pintu terbuka. Pada hari ini, kita perlu bekerjasama; kita perlu membuka saluran komunikasi dan perbincangan, kerana pada akhirnya itulah yang dikehendaki oleh semua orang.

“Keadaan makroekonomi yang kondusif akan membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada peluang perniagaan yang semakin meningkat dan juga untuk pengguna untuk meningkatkan mata pencarian mereka,” katanya.

Beliau turut berpendapat bahawa bank-bank di Malaysia sudah melakukan yang terbaik untuk menyokong ekonomi negara.

“Angka-angka ini bercakap untuk dirinya sendiri. Pengeluaran pinjaman untuk suku pertama tahun ini berada pada paras tertinggi berbanding dengan purata lima tahun, tetapi permohonan pinjaman telah menyederhana sejak November tahun lalu.

“Apabila anda melihat jumlah hutang tertunggak, pertumbuhan pinjaman telah semakin perlahan kerana permohonan telah menyederhana. Pembayaran balik telah meningkat. Ia adalah faktor permintaan kerana pinjaman dipacu oleh persekitaran makroekonomi umum.

“Sekarang anda berdepan dengan keadaan di mana ekonomi berkembang pada kadar yang lebih perlahan. Bank-bank sangat menyokong perniagaan dan isi rumah dalam aktiviti pemberian pinjaman mereka. Mereka juga perlu bertanggungjawab dalam aktiviti pemberian pinjaman ini. Mereka sebenarnya akan saling bersaing untuk memberi pinjaman kepada peminjam yang boleh dipercayai,” katanya.

96 dibaca
Berita Harian X