Rabu, 19 Jun 2019 | 11:45am

BNM kekal sekatan dagangan ringgit luar pesisir

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan menghentikan larangan dagangan derivatif ringgit luar pesisir, kata Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Larangan terhadap kontrak hadapan tidak diserah (NDF) luar pesisir akan kekal kerana kontraknya boleh mencetus gangguan kepada pasaran domestik dan menambah ketidaktentuan kepada ekonomi Malaysia yang terbuka, katanya.

“Apa yang kami mahukan adalah persekitaran pasaran yang tersusun,” katanya dalam temubual pertama bersama media antarabangsa sejak memegang jawatan itu Julai tahun lalu.

“Justeru, apa yang kami lakukan adalah mencuba untuk meminimumkan kesan penularan dari pasaran NDF. Ini dilaksanakan dengan membangunkan pasaran domestik, supaya pelabur mempunyai ruang untuk melindung nilai risiko mereka daripada bergantung ke atas pasaran NDF.”

BNM kekal dengan pendiriannya itu meskipun berdepan kritikan daripada beberapa dana global dan FTSE Russell pada April lalu memberi amaran akan menggugurkan Malaysia daripada indeks bon disebabkan kebimbangan terhadap akses pasaran.

Jika ia berlaku, akan terdapat kemungkinan aliran keluar mencecah hampir AS$8 bilion daripada pasaran hutang ringgit, demikian menurut anggaran Morgan Stanley berdasarkan data IMF.

“Kami meneruskan perbincangan dengan FTSE Russell,” kata Nor Shamsiah.

“Kami mengadakan dialog dengan penyedia indeks bagi memahami keperluan pelabur dan apa yang terbaik untuk memenuhi keperluan itu.”

Bank pusat telah memperkenalkan beberapa langkah untuk membolehkan pelabur melakukan lebih banyak lindung nilai domestik bagi menangani kebimbangan terhadap sekatan dagangan mata wang luar pesisir.

Bagaimanapun, kebimbangan terhadap aliran keluar dan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China telah menjejaskan permintaan bagi bon ringgit, dengan pegangan asing jatuh ke paras terendahnya sejak 2011 bulan lalu.

Nor Shamsiah juga berkata, prestasi semasa ringgit adalah sejajar dengan mata wang serantau dan Malaysia ‘tidak terpisah dengan negara lain’.

Ringgit susut lebih daripada dua peratus berbanding dolar sejak tiga bulan lalu, ketinggalan berbanding baht Thailand dan peso Filipina, namun mengatasi won Korea Selatan serta yuan China.

Semasa ditanya jika tambatan ringgit yang pernah dilaksanakan dari 1998 hingga 2005 adalah sesuatu yang relevan kini, beliau berkata ‘mempunyai tukaran asing yang fleksibel adalah sumber kekuatan ekonomi kerana ia boleh menjadi penyerap kejutan’.

-Bloomberg

Berita Harian X