Rabu, 19 Jun 2019 | 11:44am

IPG Mei 2019 diaktifkan

KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) memaklumkan bahawa Insentif Pengeluaran Getah (IPG) diaktifkan bagi Mei 2019 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, berikutan harga di peringkat ladang berada di paras RM2.50 sekilogram ke bawah, pada bulan itu.

Dalam kenyataan hari ini, LGM berkata pada Mei, harga purata getah peringkat ladang bagi getah beku mangkuk ialah sebanyak RM2.40 sekilogram bagi Semenanjung, RM2.10 sekilogram di Sabah dan RM2.20 sekilogram di Sarawak.

Sehubungan itu, jumlah pembayaran yang akan dilaksanakan ialah sebanyak 10 sen sekilogram bagi Semenanjung, 40 sen sekilogram bagi Sabah dan 30 sen sekilogram bagi Sarawak.

“Pekebun kecil boleh membuat tuntutan IPG berdasarkan pengeluaran Mei 2019 mulai 1 Jun 2019 hingga 30 Jun 2019,” katanya. - BERNAMA

152 dibaca
Berita Harian X