Selasa, 18 Jun 2019 | 7:14pm
MENTERI Kerja Raya, Baru Bian berucap pada majlis pelancaran kenderaan mekanisasi untuk penyelenggaraan lebuh raya PLUS dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan UEM Edgenta Bhd di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

Teknologi baharu memodenkan lebuh raya di Malaysia

PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya kini memfokuskan kepada penggunaan teknologi baharu dalam industri pembinaan untuk memastikan kemampanan infrastruktur dan keselamatan pengguna terutama di lebuh raya.

Menterinya, Baru Bian, berkata pendekatan itu adalah selari dengan aspirasi kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat dan pembangunan infrastruktur negara, selain komited untuk meningkatkan mobiliti dan kesalinghubungan.

"Kementerian sentiasa berusaha mewujudkan piawaian industri baharu yang memberi penekanan terhadap keadaan persekitaran kerja lebih selamat bagi pekerja penyelenggaraan lebuh raya dalam sektor berkenaan yang membabitkan penggunaan tenaga kerja intensif.

"Meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kementerian dan dengan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, langkah tambahan perlu diambil bagi mengelakkan kehilangan nyawa sama ada disebabkan oleb kecuaian mahupun penyelenggaraan infrastruktur yang tidak memuaskan.

"Dalam melaksanakan usaha itu, kerjasama antara kerajaan serta pihak swasta menjadi tulang belakang dan nadi pembinaan infrastruktur negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran kenderaan mekanisasi untuk penyelenggaraan lebuh raya PLUS dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan UEM Edgenta Bhd di sini, hari ini.

Kenderaan mekanisasi yang dilancarkan ialah pemotong rumput mekanisasi, kenderaan pencuci jalan mekanikal, kenderaan perlindungan impak (IPV) dan pemotong rumput bercerun kawalan jauh.

Selain itu, MoU itu antara lain memberi tumpuan kepada kajian dan penyelidikan mengenai jurang kecekapan modal insan dalam penyelenggaraan lebuh raya; menetapkan piawaian dan sebagai penanda aras kepada amalan keselamatan terbaik bagi kerja penyelenggaraan yang boleh diguna pakai syarikat lain serta meningkatkan keselamatan jalan raya bagi pengguna serta pekerja penyelenggaraan.

Hadir sama Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican; Ketua Pengarah

LLM, Datuk Aziz Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid.

Selain itu katanya, kementeriannya akan terus menyokong usaha untuk memodenkan lebuh raya Malaysia menerusi penyelesaian yang inovatif dan selamat bagi membolehkan pengendali penyelenggaraan dapat mengurangkan risiko berkaitan lalu lintas ke atas pekerja menerusi penggunaan penyelesaian berteknologi.

Sementara itu, mengulas mengenai kenaikan harga simen, beliau berkata, ia masih di peringkat perbincangan dengan semua pihak terbabit termasuk peserta industri.

Berita Harian X