Rabu, 12 Jun 2019 | 1:43am
EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee (tengah) memotong riben sebagai gimik pembukaan Dobi Santai 2 di Taman Industri Angkasa Nuri, Batu Berendam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Azmi Said (kiri). - NSTP/Khairunisah Lokman

Hanya 20 peratus usahawan Bumiputera PKS sertai GEB

ALOR GAJAH: Hanya 200,000 atau kira-kira 20 peratus daripada sejuta usahawan Bumiputera dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Azmi Said, berkata daripada keseluruhan usahawan Bumiputera PKS di seluruh negara, 300,000 atau 30 peratus daripadanya didapati hanya tertumpu kepada pasaran domestik.

“Kita lihat permohonan usahawan Bumiputera bagi program GEB masih rendah walaupun manfaat di sebalik program ini membantu memperluaskan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.

“Kita sedia membantu mereka untuk meneroka pasaran antarabangsa termasuk memberikan bantuan dari segi kemudahan pembiayaan, kewangan dengan komponen seperti pembungkusan, pensijilan dan pengurusan sistem kualiti serta pembangunan dan inovasi produk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pembukaan Dobi Layan Diri Usahawan SME yang dirasmikan oleh EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee di Taman Angkasa Nuri, di Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, sehingga tahun lalu sebanyak 116 syarikat PKS Bumiputera dengan 165 aktiviti atau projek diluluskan di Melaka dengan jumlah peruntukan keseluruhan berjumlah RM16.7juta.

“Selain itu, sebanyak 18 syarikat di Melaka juga telah lulus penilaian jawatankuasa yang membabitkan kos permohonan sebanyak RM500,095 dengan geran RM250,046,” katanya.

Berita Harian X